PM Ethiopia terima Hadiah Nobel Keamanan 2019

Abiy Ahmed
A
A

ADDIS ABABA - Hadiah Nobel Keamanan 2019 telah dianugerahkan kepada Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed atas langkah perdamaian bersama musuh lama mereka, Eritrea.

Anugerah itu diberikan kepadanya untuk usaha keras beliau untuk mencapai keamanan dan kerjasama antarabangsa.

Difahamkan, perjanjian damai bersama Eritrea telah menamatkan konflik ketenteraan selama 20 tahun susulan perang sempadan yang tercetus pada 1998-2000.

Nama beliau diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan kali ke-100 di Oslo dan dijadualkan menerima anugerah pencapaian tertinggi dalam bentuk wang tunai berjumlah kira-kira AS$900,000 (RM3.7 juta) itu pada Disember depan.

Susulan pengumuman itu, Abiy berkata, beliau berasa dihargai dan sangat teruja.

“Terima kasih banyak. Ia adalah hadiah diberikan kepada Afrika dan Ethiopia. Saya boleh bayangkan bagaimana seluruh pemimpin Afrika akan melihat ia dari sudut positif untuk mengusahakan proses damai di benua ini,” katanya menerusi panggilan telefon bersama Setiausaha Jawatankuasa Nobel Norway. - Agensi