PSP di Sarawak: Terserah kepada kerajaan Persekutuan

Abang Johari
A
A

MIRI - Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan bagi memutuskan sama ada hendak meluaskan lagi pelaksanaan skim Program Subsidi Petrol (PSP) sehingga turut merangkumi Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, susulan dengan masalah kewangan yang dihadapi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri akan menyerahkan kepada kerajaan Persekutuan dalam memutuskan bila program itu perlu dilaksanakan di Sarawak.

“Terserah kepada mereka untuk memutuskannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian pingat dan anugerah sempena hari ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud yang ke-83 di sebuah hotel di sini hari ini.

Semasa membentangkan Belanjawan 2020 semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sekiranya kerajaan Sabah dan Sarawak berhasrat turut serta dalam PSP, kerajaan persekutuan akan menerima permintaan mereka.

Guan Eng berkata, PSP hanya akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia namun pengguna di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati harga siling petrol bersubsidi pada harga RM2.08 bagi RON95 dan RM2.18 bagi diesel.

Mengulas lanjut Belanjawan 2020, Abang Johari berkata, RM4.4 bilion perbelanjaan pembangunan untuk tahun depan dari kerajaan Persekutuan akan dapat merangsang lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Kita menyambut baik belanjawan itu walaupun ia tidak sepertimana yang dijangka namun pastinya ia boleh menggerakkan ekonomi kita ke hadapan," katanya.

Abang Johari berkata, peruntukan RM735 juta khusus buat sekolah-sekolah yang usang di Sabah, Sarawak serta Semenanjung Malaysia diharapkan mencukupi untuk tahun depan.

“Saya menjangka jumlah yang lebih besar memandangkan pendidikan agak kritikal ketika ini. Secara keseluruhannya belanjawan - ok,” katanya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion mendahului senarai 29 penerima anugerah hari ini, di mana beliau menerima anugerah Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA), yang membawa gelaran Datuk Amar. - Bernama