'Mak meraung nampak kucing mati'

Kerja-kerja pemadaman dan pemantauan dilakukan anggota bomba.
Kerja-kerja pemadaman dan pemantauan dilakukan anggota bomba.
A
A
A

BATU GAJAH - "Mak meraung bila nampak bomba bawa keluar satu persatu kucing yang mati," kata Abdul Halim Abdul Rahim, 26, mengenai kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan tiga kucing betina termasuk seekor anak kucing di Taman Changkat Mewah di sini hari ini.

Ketiga-tiga kucing itu ditemui di bahagian atas rumah dua tingkat berkenaan ketika operasi memadam dan menyelamat dilakukan anggota bomba.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 7.30 pagi itu turut menyebabkan pemilik kucing, Abdul Rahim Mohd Arif, 59, melecur di kedua-dua belah tangan dipercayai terkena serpihan kayu panas.

Abdul Halim, berkata, ayah dan ibunya, Norzehan Abdul Rahman, 58, ada memelihara 12 ekor kucing sejak tiga tahun lalu dan ketika kebakaran berlaku kebanyakannya berada dalam rumah.

"Kebetulan mak dan ayah tak ada di rumah kerana keluar sarapan, saya juga ketika itu terperangkap di bahagian bilik atas kerana asap terlalu tebal, hanya dengar bunyi mengiau yang kuat sahaja," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, dia sempat menghubungi bapanya yang kemudiannya pulang dan membuka pintu hadapan rumah membolehkan kucing-kucing itu lari keluar.

"Semua kucing yang mati ini kucing kesayangan mak, sayang mak pada kucing sampai dibawa teman tidur," katanya.

Abdul Halim yang diselamatkan anggota bomba tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Kucing-kucing peliharaan Abdul Rahim yang terselamat.
Kucing-kucing peliharaan Abdul Rahim yang terselamat.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Megat Mohamad Dahari Megat Jamaluddin berkata, siasatan awal mendapati kebakaran mula berlaku di bahagian tengah rumah berhampiran tangga menyebabkan kemusnahan hampir 30 peratus.

Katanya, dua jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 16 anggota dari BBP Batu Gajah dan Pasir Puteh ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.42 pagi.

"Kebakaran menyebabkan seorang lelaki mengalami lecur dan kita telah serahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.

"Ketika operasi dijalankan, terdapat tujuh kucing terperangkap, empat berjaya dibawa keluar dengan selamat manakala tiga ditemui mati," katanya.