Tun M sokong PN dapat satukan orang Melayu - Abdul Rahim

Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik
Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pusat, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menegaskan sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perikatan Nasional (PN) mampu menyatukan orang Melayu.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh Dr Mahathir itu mampu menjadikan gerakan parti lebih kukuh kerana mempunyai hala tuju yang sama.

“Insya-Allah, sokongan Tun M kepada PN akan menjadikan gerakan kita kuat dalam memastikan rakyat majoriti Bumiputera iaitu Melayu dan pribumi mentadbir negara akan menjadi kenyataan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sewaktu Wacana Sinar Siri 400 yang bertajuk PRN: Siapa Patut Rakyat Pilih yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Dr Mahathir mengakui beliau kini bersedia bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Pada masa sama, Abdul Rahim memaklumkan bahawa politik memerlukan hala tuju jelas tentang perkara yang mahu dibuat.

Beritahu beliau, jika seseorang pernah berkata buruk tentang sesebuah parti, jadikan ia sejarah.

“Yang sudah berlalu, biarkan ia berlaku. Rakyat kini hanya akan beri penghargaan kepada perkara yang kita buat.

“Kadang-kadang mereka belajar dari kesilapan dan sejarah itu membuatkan gerakan kehadapan lebih baik,” ujarnya.

Tegas Abdul Rahim, beliau mahu menegakkan kuasa rakyat majoriti mentadbir negara.

Jelasnya, negara kini ditadbir oleh golongan minoriti berbanding majoriti iaitu melalui DAP dan Pakatan Harapan (PH).