X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2020: Masalah kuarters polis uzur dijangka selesai

Abdul Jalil menjawab pertanyaan daripada warga Kuantan berhubung pelbagai isu termasuk jenayah scammer pada program itu.
A
A

KUANTAN - Keputusan kerajaan Pakatan Harapan meluluskan peruntukkan sejumlah RM250 juta untuk membaikpulih kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang uzur mencerminkan keprihatinan aspek keselamatan dan keselesaan warga polis serta ahli keluarga.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, terdapat beberapa kuarters polis di seluruh Pahang yang perlu dibaikpulih disebabkan bumbung, lif yang rosak, sistem pendawaian usang, masalah sistem kumbahan dan sebagainya.

Menurutnya, semua masalah ini dapat diselesaikan menerusi peruntukan bajet yang diumumkan kerajaan dan pasti Pahang juga tidak terkecuali mendapat sedikit peruntukan terbabit.

"Kita (PDRM) di Pahang sudah membuat permohonan ini sudah lama kerana ada beberapa kuarters yang masih tidak dibaikpulih

"Sebelum ini ada sebahagian kuarters telah dibaiki oleh pihak logistik kita khususnya kes-kes yang memerlukan kerja penyelenggaraan dan membaikpulih segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya Program TownHall Discussion Kontinjen Pahang di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Tanah Putih hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 mengumumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta kepada Kementerian Dalam Negeri bagi tujuan pengubahsuaian dan pembaikian kuaters polis.

Ia sekaligus memberi manfaat kepada warga PDRM dan ahli keluarga yang mendiami kuarters di seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenai program diadakan, Abdul Jalil berkata, program ini memberi pendekatan kepada semua peringkat golongan masyarakat mengenai tindakan pencegahan yang telah dilaksanakan oleh PDRM Pahang.

Menurutnya, menerusi program ini masyarakat dapat menyuarakan permasalahan mereka untuk diselesaikan secara bersama.

"Kita nampak program ini beri impak positif kerana ia menjadi satu medan perbincangan masalah secara terus.

"Justeru, kita berhasrat untuk mengadakan program ini di seluruh daerah di negeri ini dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan seperti Majlis Perbandaran Kuantan ataupun agensi berkaitan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!