198 terima darjah kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail memberikan tabik hormat kepada anggota perbarisan di Istana Arau hari ini.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail memberikan tabik hormat kepada anggota perbarisan di Istana Arau hari ini.
A
A
A

ARAU - Hakim Mahkamah Tinggi Kangar, Abu Bakar Katar dan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Rosilah Yop mendahului senarai 198 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ke-76 di Istana Arau, hari ini.

Raja Perlis turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat (DK) Perlis kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dalam suatu istiadat khas yang akan dimaklumkan kemudian.

Bagi istiadat hari ini, Abu Bakar dan Rosilah masing-masing menerima Darjah Datuk Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Pada hari ini, hanya 19 darjah dan pingat kebesaran dikurniakan dan baki 179 penerima lagi akan dianugerahkan pada tarikh lain.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Ir Dr Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Ahmad Zamri Khairuddin; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Ir Azhar Omar menerima Darjah Datuk Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) dengan membawa gelaran Datuk.

Raja Perlis turut berkenan mengurniakan Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP) kepada Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azizan Md Arshad dan Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Dr Othman Warijo.

Selain itu, enam individu menerima Darjah Seri Sirajuddin Perlis (SSP), diikuti seorang penerima mendapat Pingat Mahkota Perlis (PMP).

Turut menerima darjah sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Ketua Provos Marsyal Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Mislan Anuar; Komandan Institut Pegawai Kanan Tentera Darat, Dr A Endry Nixon dan Pengarah Ordnans Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Mohd Norbi Ismail.

Artikel Berkaitan: