Berilmu tapi belum berisi

A
A
A

SEJAJAR dengan peluang dan kemudahan yang ada sekarang, semakin ramai boleh melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah.

Pada hari ini, peningkatan pencapaian golongan muda memperoleh PhD sudah tidak boleh disangkal lagi. Hakikatnya, fenomena ini secara langsung dapat menaikkan martabat pendidikan negara di peta dunia. Pun begitu, tingginya ilmu seseorang itu, bukan jaminan menjadikan mereka lebih hebat dan matang.

Apa yang penting, ilmu itu boleh memberi manfaat kepada ramai orang. Bagi menjadikannya manfaat, ilmu itu perlu ditegakkan dengan jiwa yang baik dan suci

Berkaitan hal ini, saya ingin berkongsi kisah yang ditulis oleh Pak Hamka dalam bukunya, ‘Pandangan Hidup Muslim’.

Ada seorang hartawan yang mempunyai seorang anak lelaki yang sangat dicintai. Setelah genap 12 tahun, beliau menghantar anaknya belajar ilmu daripada guru-guru yang berwibawa sehinggalah umur beliau 24 tahun barulah pulang ke pangkuannya.

Pun begitu, bapanya melihat anaknya agak sombong dengan kawan-kawan dan orang-orang kebanyakan kerana berpeluang belajar ilmu dengan guru-guru yang hebat tidak seperti mana orang lain. Pada suatu hari, bapanya berkata kepada anaknya, “Aku nampak kamu sudah berilmu, namun masih belum berisi. Kamu masih belum lagi dapat melihat perkara yang tidak dapat ditengok oleh mata”.

Anaknya begitu hairan serta tidak memahami apakah yang dimaksudkan oleh bapanya.

Keesokan harinya, bapa beliau telah meminta anaknya mengambil segenggam garam dan memasukkannya ke dalam segelas air dan dikehendaki membawa gelas tersebut keesokan hari.

Artikel Berkaitan:

Usai solat subuh, bapanya mengarahkan anaknya untuk membawa garam yang telah dimasukkan ke dalam segelas air semalam. Lalu anaknya berkata, “Hamba tidak sanggup ayah, kerana garam tersebut telah lenyap ke dalam air”.

Justeru ayahnya berkata, “Cuba kamu rasa air di bahagian atas gelas, bagaimana rasanya?”. Jawabnya anaknya, “Rasa masin Ayah”. Balas Ayahnya, “Cuba kamu rasa air di bahagian tengah gelas?”. Anaknya menjawab, “Rasa masin Ayah”. Seterusnya Ayah beliau meminta supaya anaknya merasai air di bahagian bawah gelas pula. Anaknya terus memaklumkan bahawa airnya juga berasa masin.

Seterusnya, bapa beliau meminta anaknya tuangkan air tersebut atas pasir di halaman rumah mereka dan meminta anaknya datang pagi besok untuk melihat kesannya.

Keesokannya, anak beliau mendapati kesemua air telah diserap ke dalam pasir, namun yang tinggal hanyalah garam putih sahaja. Lantaran itu, bapanya terus berkata, “Inilah makna kebenaran dalam hidup, walaupun kita tidak nampak keujudannya menerusi mata kasar, namun ianya tetap ada. Itulah jiwa yang menyokong jasad. Balas bapanya lagi, “Jasad akan menjadi angkuh dan sombong jika jiwa kita lemah”.

Justeru, jiwa yang baik akan mendokong ilmu yang hebat. Namun jika sebaliknya, kita tidak akan nampak keperluan ilmu kepada orang lain.

Apa yang kita nampak ialah memanipulasi ilmu untuk kepentingan diri. Natijahnya, ada yang berilmu hanya untuk dapatkan sebanyak mungkin harta, setinggi mana pujian dan sebesar mana pangkat mereka.

Pada hemat saya, orang yang berilmu dan berisi adalah umpama buah yang matang dan mempunyai isi yang banyak serta rasanya lazat dan manis.

Justeru buah tersebut dapat dikongsi pula dengan orang lain serta ramai yang boleh manfaat daripadanya. Bagi mereka yang berlumba-lumba memenuhi kepentingan diri dengan ilmunya, adalah jelas termasuk dalam kelompok buah yang nampaknya cantik tetapi kurang berisi.

Oleh itu, bagi menambahkan keberkatan ilmu, tidak payahlah riak dan sombong dengan ilmu kita. Cukuplah ‘menipu’ gelaran bagi tujuan menjadikan diri kita nampak lebih hebat.

Malah, berpada-padalah memanipulasi sistem, untuk naik pangkat dengan cepat. Akhirnya, kita hanya berjaya mencapai kepuasan peribadi, namun begitu jauh untuk dihargai oleh orang lain

Berkaitan isu ini, daripada Abu Hurairah R.A. dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi ALLAH melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Hadis Riwayat Muslim). Ini bermakna, biarlah kita diadili kerana amalan yang baik dan bukannya ilmu yang tinggi dan banyak.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis