Pekerja ladang didakwa maki hamun polis

No Image Caption
A
A
A

PARIT- Seorang pekerja ladang kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tiga pertuduhan termasuk mengaibkan dan memaki hamun polis, Isnin lalu.

Tertuduh K Panner Selwam, 36, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacaka oleh jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Mohd Fitri Sadarudin.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa sengaja menghalang Koperal Khairul Hafizze Madan daripada menjalankan tugas dengan membuat provokasi iaitu meninggikan suara dan enggan memberikan kerjasama ketika diminta mengalihkan kenderaan.

Bapa kepada dua anak itu juga didakwa melakukan provokasi apabila menghalang Lans Koperal Mohd Zaharil Mustafa daripada melakukan tugasnya dengan menyimbah air kepadanya.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Pejabat Kaunter Pertanyaan, Balai Polis Parit di sini, kira-kira pukul 12.10 pagi, 31 Disember lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh, mengaibkan dan memaki hamun polis pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang boleh didenda sehingga RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Majistret membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 17 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfarhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Keshvinder Singh.- Bernama