Kereta BMW tapi guna nombor pendaftaran motosikal

Wan Nor (tiga dari kanan) menunjukkan gambar kereta klon dibeli peniaga kosmetik terbabit yang dirampas pada sidang media hari ini.
Wan Nor (tiga dari kanan) menunjukkan gambar kereta klon dibeli peniaga kosmetik terbabit yang dirampas pada sidang media hari ini.
A
A
A

KANGAR - Seorang peniaga kosmetik hanya sempat menggunakan kereta klon BMW 320i yang dibelinya sejak empat hari lalu sebelum ditahan pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini semalam.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis, Wan Nor Wan Mamat berkata, wanita berusia 43 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati kereta dipandunya menggunakan nombor pendaftaran motosikal.

Menurutnya, wanita berkenaan ditahan penguat kuasa ketika melalui KM 26 lebuh raya menghala Changlun pada jam 11.50 pagi semalam.

"Hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan membeli kereta itu daripada orang tengah dan beliau turut memberi alasan tidak mengetahui perihal kereta klon.

"Bagaimanapun kita tetap merampas kereta berkenaan bawah Seksyen 135 (1d) Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Perlis, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, operasi yang bermula pada 7 hingga 11 Oktober itu turut melibatkan 40 anggota.

"Kita telah memeriksa 1,150 kenderaan dan mengeluarkan 90 notis saman atas pelbagai kesalahan," katanya.

Shahrul Azhar berkata, berdasarkan 90 saman yang dikeluarkan, 15 daripadanya melibatkan cukai jalan tamat tempoh, 15 kes libatkan insurans tamat tempoh, 33 kes tiada lesen memandu, lapan kes melibatkan muatan bahaya, enam kes tayar, enam kes berkaitan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan dan tujuh kes melibatkan kenderaan luar.

Artikel Berkaitan: