Tun M dan naratif Melayu

A
A

SEUSAI Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada 6 Oktober lalu, pelbagai komentar berlegar di media sosial.

Ada yang semangat untuk bangkit sebagai bangsa yang merasakan maruahnya tercabar, ada yang marah-marah apabila dianggap orang Melayu didakwa malas, lantaran itu hilang maruah.

Dalam kongres yang didahului pertemuan secara kluster untuk membicarakan soal pendidikan, budaya, ekonomi dan politik yang dirumus pemikir dan aktivis Melayu daripada empat institusi pendidikan tinggi (IPT), sejumlah rekomendasi diutarakan.

Ia dirangka dengan hasrat pelbagai isu berkait dengan kepentingan Melayu dan negara dirumuskan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan.

Jelas semua rumusan itu menambahkan lagi ratusan usul yang pernah diutarakan dalam pelbagai rapat Melayu pada persidangan Melayu serta perhimpunan parti politik serta tidak kurang sejumlah seminar yang tidak terkira bilangannya.

Akan tetapi kongres kali ini dilatari semangat yang sedikit berlainan. Berulang kali penganjur menyatakan kongres itu bukan perhimpunan politik tetapi satu perhimpunan luahan orang Melayu yang merasa maruahnya tercabar lalu isu ketuanan Melayu, integrasi nasional dan kontrak sosial menjadi maudhuk bicara.

Apabila mendengar bicara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau telah menyampaikan perspektif yang berbeza.

Ucapan Dr Mahathir itu membawa mesej yang tidak berbeza daripada pendirian yang selama ini diluahkan oleh beliau iaitu ada sifat negatif bangsa Melayu yang perlu diperbetulkan.

Sifat mencari jalan mudah, tidak bekerja keras dan terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan. Lalu beliau mengungkit soal Melayu jual tanah dan menjual Lesen Import (AP) kerana hendak cepat kaya. Itulah yang menjadi keluhan beliau. Naratif itulah yang menyebabkan ramai kurang senang.

Dr Mahathir membicarakan soal maruah hanya dapat dipulih jika bangsa Melayu memulihkan sifat-sifat yang merugikan bangsa itu sendiri.

Malas, tidak berdisiplin, tidak berminat berusaha lebih, tidak mahu pekerjaan yang susah, terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan harus dikikis.

Dr Mahathir menegaskan, untuk memulih maruah, jangan mengharap orang lain. Pendeknya beliau dilihat lebih mengkritik bangsa Melayu daripada mengambil kira keresahan dan tuntutan oleh para pemikir kluster kongres daripada empat buah IPT itu.

Jika dilihat semula buku beliau iaitu The Malay Dilemma, jelas Dr Mahathir bersikap kritikal terhadap orang Melayu.

Karya beliau yang diterbitkan pada 1970 iaitu 11 tahun sebelum menjadi Perdana Menteri ke-4 menyentuh isu orang Melayu sebagai kaum asal tanah air ini, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang perlu dipelajari oleh semua kaum bahawa orang Melayu sangat toleran dengan bangsa pendatang sehingga mudah dieksploitasi oleh orang luar bahawa dasar afirmatif untuk ekonomi orang Melayu diimbangi dengan kaum Cina perlu dilaksanakan.

Dr Mahathir konsisten memperihalkan nasib orang Melayu. Beliau menyatakan jika orang Melayu sendiri tidak mahu mengubah sikap dan cara berfikir untuk mencapai kemajuan, pasti maruah bangsa tidak gagal pulih.

Namun keresahan para aktivis dan pemikir bangsa tetap tidak mahu beralah dengan hujah itu.

Mereka mahu kerajaan di bawah Dr Mahathir tidak lagi bertoleransi dengan tuntutan kaum lain kerana ia dianggap melampaui batas kontrak sosial.

Isu Bahasa Kebangsaan, penjualan tanah dan penguncupan rizab Melayu, kepincangan pengurusan badan korporat Melayu, cabaran bukan Islam terhadap perundangan dan kuasa mahkamah syariah, desakan Dong Jiao Zong mengenai isu pengiktirafan UAE, soal pendidikan dan sekolah vernakular serta status istimewa bangsa Melayu dan bumiputera.

Semua itu diperdebatkan dalam pelbagai perhimpunan orang Melayu, ceramah dan kuliah.

Maruah adalah persoalan hak. Namun ia tidak boleh dipisahkan daripada persoalan rasional. Benar jika maruah dicabar, seseorang itu harus bangkit mempertahankan diri. Akan tetapi hak perlu berasaskan kebenaran.

*Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu