Pulau Pinang lancar CCTV pengecaman wajah

Kon Yeow (dua dari kanan) bersama Exco Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo (kanan), Datuk Bandar MBPP, Datuk Yeu Tung Seang dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan melihat cara pengecaman wajah dilakukan.
A
A

GEORGETOWN- [DIKEMASKINI] Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melancarkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dengan sistem pengecaman wajah di lokasi panas (hot spot) untuk tujuan pengawasan yang lebih baik.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua CCTV telah dinaik taraf kepada sistem terbaharu itu dan Pulau Pinang muncul sebagai negeri pertama yang menggunakan sistem baharu itu bagi tujuan pengawasan termasuk mengesan dan mengenal pasti penjenayah.

Menurutnya, sistem ini dapat mengesan kenderaan, pembuangan sampah secara haram, kawasan larangan tempat letak kereta dan sebagainya.

"Melalui kerjasama dengan polis dan keupayaan teknologi Analitik Video Pintar (IVA), kerajaan negeri berjaya menaik taraf penggunaan CCTV di negeri ini. Pemasangan CCTV di negeri ini perlu dilengkapi dengan sistem automatik. CCTV di kawasan pulau, iaitu di bawah MBPP sedang diasimilasikan dengan sistem IVA.

"Ia menggunakan teknologi IBM di Pusat Operasi Pintar (IOC) MBPP. Kerajaan Pulau Pinang telah memperuntukkan RM46.2 juta melibatkan kerja pemasangan sistem kamera CCTV di tapak dan bilik kawalan CCTV. Ia juga termasuk lima tahun penyelenggaraan komprehensif," katanya tadi.

Usaha ini dilakukan antara Kerajaan Pulau Pinang, MBPP, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Polis Diraja Malaysia.

Sehingga kini, 897 unit CCTV telah dipasang di Pulau Pinang iaitu 767 oleh MBPP di bahagian pulau manakala 130 oleh MPSP di bahagian seberang.

Kerajaan negeri akan memasang 150 unit lagi yang dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan 2019.

Dengan pemasangan tambahan ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di Pulau Pinang adalah 1,047 unit.