2 ADUN DAP nafi keluar parti

Cheok Keng (kiri) dan Thye Yih.
A
A

IPOH - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Perak menafikan bahawa mereka akan keluar parti sepertimana didakwa sesetengah pihak.

ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng berkata, beliau bersama ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih hanya membuat keputusan untuk meletak jawatan dalam jawatankuasa DAP sepertimana diumum September lalu.

"Kami tidak pernah berniat untuk keluar parti, tidak pernah perkara ini dibincangkan pun. Bagi pihak saya, saya masih bersama DAP dan saya kira begitu juga di pihak ADUN Pokok Assam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau mengakui, banyak pihak cuba menimbulkan spekulasi tentang kedudukannya dalam parti selepas secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu direka pembangkang untuk memburukkan lagi keadaan.

"Hakikatnya saya masih bersama DAP dan kami memberi jaminan tetap bersama DAP," katanya.

September lalu, dua ADUN DAP itu umum meletak jawatan sebagai Timbalan Bendahari dan Penolong Setiausaha Organisasi DAP.

Peletakan jawatan itu kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Kor Ming berhubung kedudukan anggota Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong Choo Keong yang sedang menghadapi tuduhan merogol pembantu rumahnya.

Selasa lepas, tular di media sosial kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Perak berikutan terdapat ura-ura beberapa ADUN kerajaan mahu meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri selaku wakil rakyat bebas.

Antara yang disebut adalah dua ADUN DAP terbabit.