Israel rancang hapus perkampungan Badwi di Naqab

Penduduk kampung di padang pasir Naqab melihat kediaman mereka dimusnahkan tentera Israel. -FOTO: AGENSI
Penduduk kampung di padang pasir Naqab melihat kediaman mereka dimusnahkan tentera Israel. -FOTO: AGENSI
A
A
A

TEL AVIV - Israel bercadang memusnahkan lebih 30 perkampungan masyarakat Badwi di padang pasir Naqab bagi memberi laluan projek penempatan Yahudi dibangunkan di kawasan tersebut.

Niat Israel untuk merampas Naqab bukan lagi rahsia kerana mereka sering menghantar jentolak bagi memusnahkan kediaman penduduk atas alasan ia dibina tanpa permit.

Malah rejim Zionis mendakwa kewujudan perkampungan Badwi yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 36,000 penduduk Arab-Palestin itu tidak diiktiraf Jawatankuasa Perancangan dan Bangunan Daerah Israel.

“Jika Israel meneruskan agenda mereka, puluhan ribu penduduk Arab-Palestin hilang tempat tinggal. Perkampungan Badwi di padang pasir Naqab sudah wujud selama ratusan tahun sebelum penubuhan Israel.

“Langkah untuk hapuskan semua kampung di Naqab hanya akan mencetuskan lebih banyak konfrontasi dan ia satu pencabulan hak asasi terang-terangan oleh Israel,” kata jurucakap kumpulan hak asasi manusia Adalah Centre, Suha Bsharah.

Tambah Bsharah lagi, rancangan Israel itu sekali gus menghancurkan generasi kanak-kanak, wanita dan belia Arab-Palestin di kawasan berkenaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa kumpulan hak asasi sejak sekian lama telah menentang pemusnahan kampung oleh Israel di Naqab.

Mereka berhujah tindakan itu akan akan membolehkan penempatan haram Yahudi diperluaskan dan akan memisahkan Tebing Barat kepada dua sehingga menjadikan harapan penubuhan negara Palestin serta Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya kian pudar. - Agensi

Artikel Berkaitan: