Isa tak minta kelulusan pembelian hotel, kata saksi

Mohd Isa Samad
Mohd Isa Samad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi semalam diberitahu bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad tidak meminta kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda.

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada, 62, mengesahkan perkara itu kerana beliau yang merupakan bekas ALP Felda juga hadir pada mesyuarat tersebut.

"Tan Sri Isa merupakan Pengerusi Felda dan beliau juga mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda.

"Beliau (Mohd Isa) terlibat dalam membuat keputusan dalam mesyuarat tersebut," katanya ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari ketiga perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saksi pendakwaan kelima itu juga bersetuju dengan Afzainizam bahawa mandat pelaburan RM100 juta yang diputuskan oleh Felda tidak pernah ditarik balik atau dimansuhkan.

Semasa pemeriksaan semula oleh Afzainizam, saksi itu mengesahkan bahawa kelulusan pembelian hotel berkenaan oleh anak syarikat Felda iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) bernilai RM160 juta hanya dibuat secara tersirat dan tiada keputusan secara bertulis di peringkat ALP Felda.

“Kertas kerja mengenai pembelian hotel itu mesti dibentangkan di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda,” katanya apabila disoal Afzainizam berhubung pembelian hotel berkenaan yang melebihi mandat pelaburan RM100 juta.

Terdahulu, semasa disoal balas peguam Datuk Sallehudin Saidin, mewakili Mohd Isa, saksi itu bersetuju bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) di FICSB hanya diwujudkan selepas isu pembelian hotel berkenaan timbul.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, semasa membacakan penyataan saksi, Hanapi mengesahkan salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda Bilangan 328 bertarikh 23 Jun 2015 dan Bilangan 329 pada 4 Ogos 2015.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Disember 2015. - Bernama