Kumpul dana Tabung Surawati

Azam Othman
Azam Othman
A
A
A

SHAH ALAM - Bahagian Perhubungan Alumni, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuka Tabung Surawati untuk menghulurkan sumbangan kepada tiga anak mangsa kemalangan di Keratong, Rompin, Pahang pada 3 Oktober 2019.

Pengarahnya, Profesor Madya Dr Azam Othman ketika dihubungi berkata, Tabung Surawati yang dilancarkan pada 4 Oktober lalu terbuka kepada orang ramai untuk menghulur sumbangan secara luar dan dalam talian selama seminggu, berakhir pada 11 Oktober ini.

“Allahyarham Surawati ialah alumni UIAM pada 2010. Kami terpanggil untuk membantu kerana bersimpati dengan tiga anaknya yang masih kecil iaitu Aryan Rizqy, Areesh Razeen dan Arfan Rakeen masing-masing berusia 6,4 dan 2 tahun.

“Hasil kutipan dana akan disampaikan kepada waris di kediaman nenek di Kampung Rhu Muda, Marang, Terengganu dijangkakan pada 15 Oktober ini dan diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat melegakan bebanan ditanggung keluarga waris,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan tersebut kepada Tabung Surawati boleh dibuat melalui JomPAY - Biller Code: 56911; Ref-1: Contact No #ORPHAN; Ref-2: Name.

"Atau salurkan kepada IIUM Operating Account, Bank Muamalat Malaysia Berhad 1407-000000-4716. Rujukan: ORPHAN. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 03-64216301," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pihak WUIF dan peserta program Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH) 3.0 turut memberi sumbangan RM500 untuk Tabung Surawati.

“Kutipan tersebut adalah sebahagian aktiviti RICH anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Rumah Ngaji dalam membudayakan infak dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“RICH terbuka kepada orang ramai untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal, solat Tahajud dan solat Subuh berjemaah serta sesi Bersama Tokoh bermula jam 4.30 pagi hingga 7.30 pagi, setiap Sabtu.

“Al-Quran, solat dan infak (QSI) ada disebut dalam Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5. Ia diharapkan mampu melonjakkan potensi diri berlandaskan sistem operasi al-Quran dan kerangka fikir al-Quran,” katanya.

Sewaktu kejadian, Surawati, 33, dan suaminya, Muhammad Noor Idham Ramli, 31, maut selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka lima sekeluarga terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 134 Jalan Kuantan - Seremban pada jam 5 pagi.

Tiga anak yang berada di bahagian belakang tempat duduk selamat.