JPJeBid selamatkan hasil kerajaan hingga RM20 juta setahun

Pembantu Penguatkuasa Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan, Nor Hayati Zainudin menunjukkan nombor plat kenderaan MDF 1 yang akan dibuka untuk bidaan selepas sidang media bidaan Siri MDF Melalui Aplikasi JPJeBid di Pejabat JPJ Melaka hari ini. - Foto Bernama
Pembantu Penguatkuasa Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan, Nor Hayati Zainudin menunjukkan nombor plat kenderaan MDF 1 yang akan dibuka untuk bidaan selepas sidang media bidaan Siri MDF Melalui Aplikasi JPJeBid di Pejabat JPJ Melaka hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian menerusi aplikasi JPJeBid dapat menyelamatkan antara RM15 juta hingga RM20 juta kutipan hasil kerajaan setahun berbanding penggunaan sistem bidaan secara manual.

Timbalan Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Hafiz Shamsani Othman berkata, ia kerana sistem elektronik itu lebih telus ekoran tiada campur tangan manusia dan proses pembidaan serta keputusan lebih singkat serta menjimatkan kos dokumentasi.

Berdasarkan rekod, lebih RM29.22 juta hasil bidaan dikutip menerusi 22 siri nombor pendaftaran kenderaan menggunakan aplikasi JPJeBid sejak ia diperkenalkan pada April lepas hingga semalam.

"Bidaan secara elektronik melalui JPJeBid ini menawarkan ketelusan bermula transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat dan pembida boleh mengetahui kedudukan bidaan mereka secara masa sebenar tanpa sebarang unsur campur tangan manusia selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

"Menerusi sistem ini, kutipan hasil dijangka meningkat antara 50 hingga 200 peratus setiap kali bidaan siri nombor kenderaan dan setakat ini, 87,723 pembida telah berdaftar di bawah sistem ini," katanya pada sidang media bidaan Siri MDF Melalui Aplikasi JPJeBid di Pejabat JPJ Melaka di sini hari ini.

Mohd Hafiz Shamsani berkata, sistem itu dijangka dilaksanakan sepenuhnya seluruh negara pada akhir tahun ini.

Sehingga kini, ia telah dilaksanakan di Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan terbaru Melaka, Khamis ini.

Sementara itu, Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, bidaan siri nombor kenderaan MDF menerusi Aplikasi JPJeBid itu akan dibuka selama lima hari bermula 12 tengah malam Khamis ini sehingga 11.59 malam 14 Oktober, manakala keputusan akan diumumkan pada 15 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Antara nombor yang menjadi kegemaran pembida di negeri ini ialah MDF 1 hingga MDF 11, MDF 22, MDF 33, MDF 44, MDF 55, MDF 66, MDF 77, MDF 88 dan MDF 99.

Harga minimum untuk bidaan bagi kategori nombor bernilai utama ialah RM20,000 dengan kenaikan bidaan minimum sebanyak RM1,000; nombor menarik (RM3,000 dengan kenaikan bidaan minimum RM150), nombor popular (RM800 dengan kenaikan bidaan minimum RM40) dan nombor biasa (RM300 dengan kenaikan bidaan minimum RM15).

"Kaedah pembayaran bidaan berkenaan ialah menerusi kad kredit atau kad debit tempatan sahaja dan pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida," katanya.

Beliau berkata, setiap individu yang membida layak memenangi maksimum tiga nombor pendaftaran manakala pemilik perniagaan atau syarikat tidak melebihi lima nombor kenderaan dan nombor yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh pengumuman yang dikeluarkan JPJ Negeri atau cawangan. - Bernama