Rumah pusaka terbakar, 2 beradik nyaris maut

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran daripada terus merebak.
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran daripada terus merebak.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Dua beradik nyaris maut apabila rumah pusaka yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Paloh Sungai Kiat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, seorang mangsa iaitu Saadiah Abd Rashid, 58, turut mengalami kecederaan di tangan sewaktu cuba menyelamatkan diri.

Menurut Saadiah, kejadian berlaku ketika dia sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja, sebelum terdengar bunyi letupan.

“Saya keluar dari bilik air dan nampak api di bilik tidur bahagian atas rumah sedang marak. Saya jerit panggil kakak dan maklumkan api sudah mula marak.

No Image Caption

“Pada masa yang sama, saya ke bilik air untuk ambil air tadahan, kemudian jirus pada tempat yang terkena api, tapi ia masih menyala. Kami kemudiannya keluar rumah menyelamatkan diri,” katanya.

Kakaknya, Rosnani Abd Rashid, 64, berkata, sewaktu adiknya menjerit, dia menyangkakan ada biawak yang masuk ke rumah mereka.

“Bila saya keluar, barulah sedar ada api. Kemudian, seorang pemuda yang bermotosikal menjerit beritahu rumah saya terbakar dan minta kami keluar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 pagi, sebelum 33 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Jelasnya, sewaktu tiba, api telah marak dan membakar bahagian atas rumah yang diperbuat daripada kayu dan pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran itu menyebabkan kerosakan hampir 100 peratus pada bahagian atas rumah dan 50 peratus pada bahagian bawah, manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.