Bentuk kerajaan Melayu, Islam untuk kestabilan politik: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Pelawaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan Melayu dan Islam hanya bertujuan mewujudkan kestabilan politik negara.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berpendapat dominasi kerajaan perlu dalam kalangan kaum majoriti.

Menurutnya, jika dominasi daripada Melayu diperkenalkan, tidak akan timbul pelbagai perspektif dan kegelisahan seperti hari ini.

"Dalam Islam pun, Nabi Muhammad meminta kaum yang mendominasi mengetuai negara bagi mewujudkan kestabilan.

"Kegelisahan itu dapat dilihat hari ini dan saya fikir Mohamad Hassan hanya menawarkan satu penyelesaian.

"Terpulang kepada Tun Dr Mahathir untuk terima atau tidak, " katanya kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tubuh kerajaan baharu bersama UMNO-Pas: Ini jawab Tun M

Hari ini, Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak berminat menubuhkan kerajaan baharu bersama UMNO-Pas atas alasan memartabatkan kaum Melayu dan Islam.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) menegaskan inisiatif menubuhkan kerajaan berteraskan kaum Melayu dan Islam sukar dilakukan kerana kedudukan negara berbilang kaum.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mempelawa Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah kerajaan baharu jika perdana menteri itu benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau berkata, kerajaan baharu itu boleh ditubuhkan dengan kerjasama BN, Pas serta parti dari Sabah dan Sarawak.