Tubuh kerajaan baharu bersama UMNO-Pas: Ini jawab Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melambai tangan ketika tiba di bangunan Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melambai tangan ketika tiba di bangunan Parlimen di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak berminat untuk menubuhkan kerajaan baharu bersama UMNO-Pas atas alasan memartabatkan kaum Melayu dan Islam.

Sebaliknya, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, inisiatif menubuhkan kerajaan berteraskan kaum Melayu dan agama Islam sukar dilakukan kerana kedudukan negara berbilang kaum.

Menurutnya, sejak zaman merdeka, penubuhan kerajaan negara ini mempunyai ahli Kabinet terdiri pemimpin pelbagai kaum.

"Kita sedar sebagai sebuah negara berbilang kaum, kita mempunyai ahli Kabinet terdiri semua kaum.

"Itu sesuatu hakikat kita tidak boleh tolak kerana semua kaum mempunyai hak dalam negara ini, " katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan mempelawa Dr Mahathir menubuhkan sebuah kerajaan baharu sekiranya Perdana Menteri itu benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, kerajaan baharu itu boleh ditubuhkan dengan kerjasama BN, Pas serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Dr Mahathir boleh tubuh kerajaan baharu jika ikhlas' - Tok Mat

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut mempertahankan pendiriannya mengkritik kaum Melayu sewaktu menyampaikan amanat pada Kongres Maruah Melayu sebagai meluahkan kebenaran.

Menurutnya, maruah orang Melayu hanya boleh dipulihkan dengan orang Melayu sendiri.

"Kalau kita tidak tegur orang, bagaimana kita hendak betulkan orang.

"Kita tidak boleh harap orang lain dan kerajaan untuk membetulkan kedudukan dan martabat kaum Melayu," katanya.