Murid teruja disambut Eemut, Bee Bee

Para pelajar dan guru Tahun 1 bergambar bersama Eemut dan Bee Bee sebelum masuk ke kelas masing-masing.
Para pelajar dan guru Tahun 1 bergambar bersama Eemut dan Bee Bee sebelum masuk ke kelas masing-masing.
A
A
A

KODIANG - Seramai 562 pelajar Sekolah Kebangsaan Kodiang di sini dirai dengan kehadiran maskot Eemut dan Bee Bee daripada Fantasia Aquapark pada hari pertama sesi persekolahan 2019, hari ini.

Guru Besarnya, Nik Mohamad Jafrizal Nik Abdullah berkata, beliau cuba mengetengahkan kelainan pada tahun ini untuk mewujudkan suasana yang menyeronokkan dan penuh kasih sayang.

Katanya, secara tidak langsung konsep berkenaan juga menimbulkan perasaan selesa dalam kalangan murid Tahun Satu yang kali pertama menjejakkan kaki ke sekolah rendah.

"Saya sangat berterima kasih kepada pihak BDB Leisures Sdn Bhd kerana sudi hadir ke sekolah kami hari ini (semalam).

"Bagi saya penglibatan komuniti seperti ini sangat penting untuk merealisasikan kemenjadian pelajar," katanya yang mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru, PIBG dan waris yang memberikan kerjasama.

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Jualan BDB Leisures Sdn Bhd, Anuar Bahador berkata, program CSR yang dilaksanakan semalam adalah julung kali diadakan sempena hari pertama sesi persekolahan.

"Alhamdulillah, murid kelihatan gembira menyambut kedatangan kami, malah kedua-dua maskot juga sempat menghantar murid Tahun Satu ke kelas masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Anuar juga turut memuji usaha yang diambil pihak sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka dilihat komited dalam menggalakkan persaingan sihat antara pelajar dengan menawarkan ganjaran masuk percuma ke Fantasia Aquapark kepada murid yang cemerlang.

"Insya-ALLAH kita sedia memberikan kerjasama untuk lain-lain program CSR selepas ini, bukan sahaja untuk sekolah ini malahan untuk semua sekolah yang berminat," katanya.