30 kamera pantau penyokong Vietnam-Malaysia

Penyokong Vietnam beratur membeli tiket perlawanan menentang Malaysia, Khamis ini sambil dipantau ketat pihak berkuasa tempatan. FOTO: SAIGON ONLINE
A
A

HANOI - Pihak Stadium Nasional My Dinh, Hanoi memantau ketat dengan memasang lebih 30 kamera menjelang perlawanan Vietnam menentang Malaysia pada aksi Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Khamis ini.

Menurut pihak stadium, sejak 2017 kesemua kamera keselamatan itu telah diletakkan di tingkat A dan B bagi mengawal keselamatan dan sistem tersebut berfungsi dengan baik sehingga hari ini.

"Sistem pengawasan kamera antara langkah proaktif untuk membantu pasukan keselamatan mengawal keadaan dari tempat duduk. Tindakan pantas akan diambil jika berlaku perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

"Antara yang dalam pemerhatian serius adalah tindakan membakar mercun dan suar malah tindak tanduk setiap pengunjung stadium juga diperhatikan," kata pihak pengurusan stadium yang dipetik dalam laman sesawang Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

Menurut menurut kenyataan itu lagi, pihak perbadanan stadium dengan kerjasama polis Vietnam akan melakukan pemeriksaan ketat terhadap mereka yang mahu memasuki atau keluar dari stadium.

Hanya penyokong yang memiliki tiket sah dibenarkan memasuki stadium dan objek keras, senjata, mercun atau suar dilarang dibawa masuk.

Vietnam kini menduduki tangga keempat kumpulan selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama menentang Thailand.

Manakala Malaysia yang telah mengharungi dua perlawanan berada di tangga ketiga hasil kemenangan menentang Indonesia 3-2 sebelum tumpas 1-2 dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Bukit Jalil 10 September lalu.