WKB2030: Penoreh harap kebajikan mereka terbela

Ahmad Zulkifli mahu WKB2030 yang dilancarkan akan turut mengambil kira nasib golongan penoreh getah yang rata-rata adalah dari golongan miskin.
Ahmad Zulkifli mahu WKB2030 yang dilancarkan akan turut mengambil kira nasib golongan penoreh getah yang rata-rata adalah dari golongan miskin.
A
A
A

KUALA NERANG - Penoreh getah berharap kebajikan mereka diambil kira dan terbela melalui pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Pengerusi Persatuan Penoreh dan Pekebun Getah Padang Terap, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, permintaan golongan tersebut yang rata-rata miskin dan berpendapatan di bawah B40 yang mahukan harga getah dinaikkan perlu dipertimbangkan oleh kerajaan.

Menurutnya, pihak berkaitan juga perlu memikirkan kenapa industri getah dalam negara kurang maju dan yang ada hanya beberapa kilang sahaja yang melibatkan industri itu.

"Kementerian dan agensi yang terlibat diminta membuat perancangan yang betul-betul rapi jika benar inginkan wawasan ini berjaya. Apa ada di atas kertas yang mahu membangunkan golongan sasaran perlu diterjemahkan di lapangan.

"Pihak kerajaan diminta mewujudkan pelbagai industri atau kilang yang berasaskan getah dalam Malaysia dan barulah harga getah boleh tinggi. Kalau bergantung kepada pasaran dunia semata-mata sampai bila-bila pun harga getah tidak akan tinggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ahmad Zulkifli berkata, agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang merupakan badan pelaksana serta penyalur maklumat kepada golongan penoreh dan pekebun getah serta pemain industri perlu bergerak pantas dalam menjayakan wawasan ini.

Katanya, tanpa kerja kuat dan komitmen daripada agensi yang terlibat dalam memberikan penerangan kepada golongan sasaran, perkara itu mampu menyebabkan mereka ketinggalan dan gagal untuk sama-sama maju ke hadapan sejajar dengan hasrat dan wawasan negara.

"Saya mempunyai pengalaman menoreh getah dari kecil lagi dan menyambut baik terhadap wawasan ini. Syabas kepada kerajaan Malaysia kerana mementingkan kebajikan rakyat di pelbagai lapisan masyarakat dan industri.

Artikel Berkaitan:

"Jika boleh bawa masuk teknologi dari luar negara untuk membantu golongan penoreh getah ini dalam menjadikannya sebagai industri yang berdaya saing dan peluang pekerjaan juga bertambah selain boleh juga dinikmati oleh rakyat Malaysia lain," katanya.

Katanya, peluang pekerjaan di luar bandar perlu difikirkan oleh kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dan masalah sosial yang belum berkesudahan sehingga hari ini.

WKB2030 yang dilancarkan bertujuan memberi suntikan baharu agar ekonomi Malaysia melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi di samping memperkasa kuasa beli rakyat.

Wawasan itu juga bertujuan merapatkan jurang pendapatan dan pembangunan antara kelas, kaum dan wilayah di seluruh negara.