Belanjawan 2020: Pinta cadang kekalkan peruntukan institusi tahfiz

Mohd Zahid
Mohd Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) mencadangkan agar pihak kerajaan mengekalkan peruntukan bagi institusi tahfiz menerusi pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat ini.

Presidennya, Mohd Zahid Mahmod berkata, pihaknya juga sangat berbesar hati sekiranya pihak kerajaan menambahkan jumlah peruntukan kepada institusi tahfiz di negara ini bertujuan untuk memperkasakan institusi tahfiz seiring dengan institusi-institusi pendidikan yang lain.

“Bajet perlu ditambah memandangkan sekolah tahfiz di negara ini terlampau banyak dan daripada jumlah itu kira-kira 870 hingga 900 lebih sekolah tahfiz yang berdaftar.

“Jadi peruntukan berkenaan adalah untuk melancarkan proses pembelajaran dan untuk memastikan institusi tahfiz di negara ini mampu berdiri dengan institusi-institusi pendidikan yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa sama, beliau berkata, dalam Belanjawan 2019 yang lepas sebanyak RM50 Juta diperuntukan untuk institusi tahfiz dan sejumlah besar peruntukan diberikan untuk menaik taraf infrastruktur seperti pembinaan bangunan.

“Walaupun RM50 juta itu besar namun jumlahnya kecil apabila diagihkan kepada sekolah tahfiz berdaftar malah pihak pengurusan juga perlu membuat permohonan dengan menyenaraikan keperluan yang ingin dilaksanakan.

“Berdasarkan Belanjawan 2019 agihan wang berkenaan adalah secara perkapita maksudnya jumlah wang berkenaan terhad kepada jumlah pelajar di sekolah tersebut,” katanya.

Jelasnya, untuk kali ini, pihaknya berharap agar kerajaan menggunakan kaedah yang lebih memudahkan dan dapat sampai kepada golongan sasaran.

Artikel Berkaitan:

“Maksudnya biarlah apa sahaja yang dilaksanakan di sekolah tahfiz berkenaan ada hitam putihnya dan mudahlah untuk diaudit dan dihantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya.