Lebih 700,000 akaun pendeposit TH tidak aktif

Tabung Haji
Tabung Haji
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 700,000 akaun pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) melibatkan jumlah simpanan sebanyak RM60.4 juta didapati tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut mulai tahun 2012 sehingga akhir Ogos lepas.

TH dalam satu kenyataan menasihatkan pendeposit terlibat mengaktifkan akaun masing-masing dengan membuat sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter uniteller; atau melakukan transaksi atas talian dengan mana-mana rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, akaun-akaun yang masih tidak diaktifkan selepas 1 November ini akan dipindahkan ke dalam kumpulan Akaun Dormant (Tidak Aktif).

Namun, amaun yang dipindahkan ke Akaun Dormant itu masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH menurut peruntukan Seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995.

“Setiap tahun, TH akan mengingatkan pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, di samping mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TH di 03-6207 1919 untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: