Permaisuri Selangor kesal tindakan tangkap anjing tak ikut prosedur

Kenyataan media Tengku Permaisuri Norashikin yang dimuat naik dalam hantaran Selangor Royal Office hari ini.
Kenyataan media Tengku Permaisuri Norashikin yang dimuat naik dalam hantaran Selangor Royal Office hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman kesal dengan tindakan anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menangkap anjing terbiar yang tular di media sosial, 3 Oktober lalu.

Baginda menzahirkan rasa dukacita kerana kejadian kejam seumpamanya masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran dilaksanakan membabitkan haiwan terbiar.

"Saya menggesa pihak berwajib lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes membabitkan haiwan terbiar di jalanan," titahnya dalam kenyataan medianya di Facebook menggunakan akaun nama 'Selangor Royal Office' hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin memaklumkan kerajaan negeri melalui Exco Selangor, Ng Sze Han memohon maaf di atas tindakan kasar anggota MPSJ terbabit.

"Saya berharap prosedur penangkapan haiwan jalanan yang telah ditetapkan seharusnya dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan itu dan juga keselamatan kakitangan pihak berkuasa tempatan yang terlibat," titahnya.

Baginda menegaskan, prosedur yang dijalankan itu juga perlu dilakukan dengan sebaik mungkin tanpa menyakiti atau mencederakan haiwan terbabit di samping prosedur itu perlu diperkemas serta dilaksanakan sesuai dengan situasi tertentu.

"Buat sekian kalinya, saya mohon agar semua pihak, tidak kiralah kakitangan pihak berkuasa atau masyarakat secara amnya supaya menyemai sifat belas kasihan terhadap haiwan terbiar yang memerlukan bantuan," ujar baginda.

Baginda yang juga Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor (SFS) bertitah, pihak berkuasa terlibat perlu bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan.

Artikel Berkaitan:

"Akta Kebajikan Haiwan 2015 telah jelas memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan atau penjara sehingga tiga tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan," katanya.

Sinar Harian 4 Oktober lalu melaporkan kerajaan Selangor memohon maaf terhadap insiden penangkapan anjing yang tular di media sosial.

Sze Han berkata, perlakuan kasar petugas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) ketika menjalankan penangkapan anjing itu amat dikesali.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Selangor mohon maaf insiden tangkap anjing