MDKS roboh empat gerai haram

MDKS merobohkan struktur gerai yang dibina di tanah rizab kerajaan di Bestari Jaya pada 26 September lalu.
MDKS merobohkan struktur gerai yang dibina di tanah rizab kerajaan di Bestari Jaya pada 26 September lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) merobohkan empat gerai yang menjalankan perniagaan menjual makanan di tanah rizab kerajaan di Bestari Jaya di sini 26 September lalu.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, operasi bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurutnya, Jabatan Kawalan Bangunan MDKS sebelum ini pernah mengeluarkan notis roboh dan arahan mengosongkan bangunan pada 24 Julai lalu.

"Bagaimanapun gerai terbabit masih menjalankan perniagaan di premis yang dibina di tanah kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rahilah berkata, pihaknya sentiasa memantau kawasan lain yang mempunyai kesalahan sama dari semasa ke semasa selain kerjasama orang ramai turut diperlukan untuk melaporkan segera kepada MDKS jika melihat perkara itu berulang.

"MDKS turut menggesa orang ramai mematuhi arahan agar tidak membina sebarang struktur di kawasan tidak dibenarkan dan jika ingkar, tindakan tegas bakal dikenakan," katanya.

Operasi dijalankan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133) iaitu membina, menegakkan, mendirikan dan menyenggara atau membenarkan dibina, ditegakkan, didirikan atau diselenggara sesuatu tembok, pagar, susur, tiang atau apa-apa himpunan sesuatu benda atau lain-lain halangan di mana-mana tempat awam.

Artikel Berkaitan: