Dua beradik rasuah polis dijel, didenda RM50,000

Wan Mohd Faizal (kanan) dihukum penjara dua tahun dan abangnya, Wan Mohd Fikri dihukum penjara setahun serta denda masing-masing RM50,000 di Mahkamah Sesyen hari ini.
Wan Mohd Faizal (kanan) dihukum penjara dua tahun dan abangnya, Wan Mohd Fikri dihukum penjara setahun serta denda masing-masing RM50,000 di Mahkamah Sesyen hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua beradik lelaki dihukum penjara serta masing-masing didenda berjumlah RM50,000 kerana merasuah RM10,000 kepada seorang pegawai polis, Mei lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Zaman Mohd Noor terhadap tertuduh, Wan Mohd Faizal Wan Marzuki, 31, dan abangnya, Wan Mohd Fikri, 32, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan dikemukakan.

Wan Mohd Faizal dihukum penjara dua tahun manakala abangnya, Wan Mohd Fikri pula dihukum penjara setahun.

Mereka juga dikenakan hukuman penjara tambahan selama tempoh 15 bulan sekiranya denda RM50,000 setiap seorang tersebut gagal dijelaskan.

Hukuman diarah berkuatkuasa hari ini.

Mengikut pertuduhan Wan Mohd Faizal didakwa memberi suapan RM10,000 kepada Pegawai Kanan Polis Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA), Kubang Badak, Terengganu, Inspektor Rozaimi Bakhtiar sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan memiliki 787 kilogram daun ketum di Kampung Kedondong, Pasir Mas jam 10 malam, 27 Mei lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Wan Mohd Fikri pula didakwa menyediakan wang RM10,000 untuk diberikan secara rasuah kepada Rozaimi selaku seorang ejen kerajaan Malaysia pada masa serta lokasi sama.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Adha Amir Yasser Amri, manakala kedua-dua tertuduh tidak mewakili peguam.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh dalam rayuannya memohon supaya hukuman dikurangkan kerana perlu menyara keluarga masing-masing serta ibu mereka.

Ahmad Adha Amir bagaimanapun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan serius.