Mansuh sekolah vernakular: MCA persoal Guan Eng, Nie Ching membisu

Wee Ka Siong
Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong hairan dengan sikap pemimpin DAP yang berdiam diri berhubung gesaan agar kerajaan menghapuskan sekolah vernakular.

Beliau turut menempelak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilihat mendiamkan diri apabila isu tersebut dibangkitkan dalam Kongres Maruah Melayu (KMM) di Stadium Malawati, Shah Alam semalam.

Menurutnya, tindakan kepemimpinan tertinggi DAP yang diam membisu tanpa memberi komen terhadap resolusi itu dilihat agak pelik kerana DAP kini mempunyai kuasa untuk membantah perkara itu.

“Saya juga berharap rakan media meminta komen daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang. Mereka hanya membisu sahaja melibatkan isu ini.

“Namun apa yang mengejutkan saya ialah kongres itu dianjurkan oleh universiti awam. Orang paling penting adalah (Menteri Pendidikan), Dr Maszlee Malik, timbalannya tidak lain tidak bukan, Nie Ching (Teo Nie Ching). Kenapa senyap sahaja?" soal Ka Siong.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut bertanya sama ada kata-kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada kongres itu dipersetujui oleh gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Anda menjadi kerajaan sekarang. Adakah kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mewakili polisi kerajaan sekarang? Apakah pula pendirian mereka mengenai isu ini?” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Nurul Fatin Aqilah Rahim yang mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, langkah menghapuskan sekolah aliran Cina dan Tamil itu penting demi perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Nurul Fatin berkata, sekolah vernakular boleh dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2026.