Muhasabah Maruah Melayu

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SEMPENA ucapan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kongres Maruah Melayu Shah Alam, Tun Mahathir menegaskan hanya orang Melayu sendiri yang boleh pulih maruah mereka sendiri dengan menggunakan kerajaan yang ada.

Ia ucapan yang penuh dengan muhasabah diri supaya orang Melayu tidak menyalahkan orang lain kenapa maruah mereka dicabar. Ucapan yang mendalam, jauh dari permainan tuding jari menyalahkan orang lain dengan gesaan orang Melayu perlu bangkit sendiri.

Pepatah menyatakan: "Jangan salahkan orang lain bila anda dijatuhkan, salah diri sendiri kenapa anda tidak bangun semula!"

Maruah Melayu adalah tentang kekentalan jiwa dan jalan yang sukar untuk didaki. Ia bukan soal menyalahkan orang lain tetapi harus punya jiwa yang bangkit dan enggan mengaku kalah.

Maruah Melayu bukan milik mana-mana kelompok, ia tentang kemurnian jiwa meredah medan tempur dalaman yang berkecamuk antara kekecewaan, rangsangan untuk bangkit dan mendambakan petunjuk.

Hanya dengan memahami rentak perjuangan bernama maruah, baharulah orang Melayu mampu memulihkan maruah mereka.

Dengarlah Muhasabah Maruah Melayu yang diinspirasikan daripada ucapan Tun Mahathir di Kongres Maruah Melayu.

Muhasabah Maruah Melayu

Artikel Berkaitan:

Apa maruah Melayu?

Siapa yang empunya angkara?

Apakah maruah Melayu dicabar?

Ataukah kita mencabar maruah sendiri?

Apakah maruah Melayu dinodai?

Ataukah kita menodai maruah sendiri?

Apakah maruah Melayu tergadai?

Ataukah kita menggadai maruah?

Apakah maruah Melayu tak dibela?

Ataukah kita rela tak dibela?

Apakah maruah Melayu kerana berpecah?

Ataukah kita berpecah demi maruah?

Apakah maruah Melayu dibenci?

Ataukah kita membuatkan orang benci?

Apakah maruah Melayu dimusuhi?

Ataukah kita yang mencipta musuh?

Apakah maruah Melayu dipijak?

Ataukah kita memijak maruah sendiri?

Apakah maruah Melayu dihina?

Ataukah kita menghina maruah sendiri?

Apakah maruah Melayu tak dihormati?

Ataukah kita tidak menghormati maruah kita?

Lalu... apakah maruah Melayu?

Maruah Melayu adalah maruah kita!

Nukilan sempena Kongres Maruah Melayu



*Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ialah Naib Presiden Amanah Nasional dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar