Payung Terjun ATM Challenge perkemas aspek keselamatan

Syarat penyertaan Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Challenge tahun ini diperketatkan.
Syarat penyertaan Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Challenge tahun ini diperketatkan.
A
A
A

KUANTAN - Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Challenge tahun ini akan memperkemaskan kawalan dan peraturan keselamatan bagi mengelakkan tragedi penerjun tersasar seperti tahun lepas.

Pengerusi Persatuan Payung Terjun ATM yang juga Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kolonel Adi Ridzwan Abdullah berkata, pihaknya telah menandakan tempat khusus penerjun mendarat iaitu di kawasan tengah padang selain meletakkan bendera serta wind stop sebagai langkah kawalan dan keselamatan.


Adi Ridzwan
Adi Ridzwan

Menurutnya, faktor cuaca, angin kuat, keadaan bangunan tinggi, jalan raya dan khemah antara cabaran serta halangan yang terpaksa dihadapi penerjun namun bagi memastikan peserta selamat syarat penyertaan kali ini telah diperketatkan.

"Mereka perlu sekurang-kurangnya melakukan 100 penerjunan sebelum ini serta menjalani pemeriksaan doktor setiap hari sebelum menaiki helikopter.

“Dengan kriteria sekuang-kurangnya 100 penerjunan sebelum ini, peserta boleh dikatakan pakar dalam sukan ekstrem ini. Pihak kami juga mengambil kira bila kali terakhir seseorang peserta itu melakukan terjunan.

“Peserta juga diwajibkan melakukan pemeriksaan tekanan darah kerana tekanan darah yang tinggi boleh menyebabkan mereka pengsan ketika berada pada altitud yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas majlis perasmian kejohanan itu di Padang MPK 4, Kemunting di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Inspektor Jeneral ATM, Laksamana Muda Mohd Hatim Saad; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Abd Rahim Muda; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang, Datuk Abdul Aziz Salleh dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.

Adi Ridzwan berkata, insiden tahun lepas membabitkan empat penerjun tersasar landasan pendaratan akibat angin kuat namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

"Pada altitud tinggi, angin yang kuat serta cuaca boleh berubah pada bila bila masa. Sama ada angin di atas atau di bawah. Kalau angin terlalu kuat kita akan hentikan seketika.

"Selain itu, kejadian yang tidak diingini boleh berpunca daripada disiplin dan kerjasama antara peserta itu sendiri. Penting bagi pihak atasan atau penganjur memastikan peserta dan kumpulan bekerjasama dengan baik dari segi diri dan peralatan serta prosedur.

"Semua payung perkakas akan disemak oleh ketua hakim sebelum menaiki helikopter. Semakan dari sudut individu dan kesemuanya sebagai prosedur akhir sebelum penerjunan," katanya.

Beliau berkata, terdapat satu mekanisme keselamatan yang akan digunakan oleh semua penerjun iaitu ‘automatic activation device’ di mana jika penerjun gagal membuka payung terjun mereka pada ketinggian 1,000 kaki sehingga 3,000 kaki, peralatan itu akan mengembangkan payung terjun simpanan.

Dari kiri, Abd Rahim diiringi Adi Ridzwan beramah mesra dengan peserta.
Dari kiri, Abd Rahim diiringi Adi Ridzwan beramah mesra dengan peserta.

Dalam kejohanan ini, lebih 100 penerjun dari lapan pasukan akan bertanding dalam empat kategori iaitu Accuracy Sport, Accuracy Military, Formation Skydiving (FS) dan Canopy Formation Skydiving (CFS).

Para peserta akan terjun dari ketinggian 6,000 kaki sehingga 10,000 kaki.

Peserta terdiri daripada Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Kelab Veteran Komando Skydive, Raftabina Aerosport dan Afjets Sydive Club.