'KMM untuk mengingatkan Tanah Melayu milik orang Melayu'

Peserta KMM mengibar Jalur Gemilang di Stadium Malawati Shah Alam hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Peserta KMM mengibar Jalur Gemilang di Stadium Malawati Shah Alam hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Maruah Melayu (KMM) bertujuan mengingatkan bangsa lain bahawa Tanah Melayu yang dinamakan Malaysia ialah milik orang Melayu.

Ketua Eksekutif KMM, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata, ada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menindas dan menafikan hak bangsa Melayu ini kerana sikap baik budi golongan ini sejak sekian lama.

“Kita telah bermastautin di sini (sejak) sekian lama membina kedaulatan kita dan membina Tanah Melayu. Dengan budi baik kita, dengan nilai baik kita, kita membenarkan negara ini diperintah dan ditadbir orang lain.

“Kemudian kita tuntut kembali negara ini dengan nama kemerdekaan. Apa yang kita tuntut ialah untuk mengembalikan kedaulatan kita dan kekuasaan kita,” katanya ketika berucap di KMM yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam di sini hari ini.

Menurutnya, orang Melayu menerima kemasukan orang lain dan memberikan taraf kewarganegaraan dengan harapan dapat menjalani kehidupan majmuk.

"Bagaimanapun, ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan mencabuli Perlembagaan Negara yang dimeterai pemimpin terdahulu.

“Kita tuntut supaya beberapa bahagian yang telah dicabul dalam Perlembagaan Persekutuan dipertahankan," katanya.

Zainal seterusnya menyifatkan golongan terbabit cuba menafikan hak keistimewaan orang Melayu, menafikan Islam ialah agama Persekutuan dan ada antaranya menghina Raja-Raja Melayu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu beliau mengajak orang Melayu mengambil peringatan bahawa perjanjian untuk orang lain mendapatkan kerakyatan dan kewarganegaraan itu adalah dengan budi baik bangsa Melayu yang sudah mewarisi negara ini selama lebih 5,000 tahun.