Lelaki cedera ditembak individu tidak dikenali

No Image Caption
A
A
A

PERAI - Seorang lelaki cedera di bahagian lengan dan perut selepas ditembak individu tidak dikenali dalam kejadian di hadapan Apartmen Kelisa di Taman Inderawasih di sini pagi tadi.

Ketika kejadian pada jam 2.08 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun sedang berbual bersama empat rakannya di hadapan apartmen berkenaan sebelum sebuah kereta jenis Proton Waja lalu di depan mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, selang beberapa minit kereta itu sekali lagi datang ke kawasan berkenaan dengan dipandu laju menyebabkan beberapa rakan mangsa bertindak mengejar kereta tersebut.

Menurutnya, mangsa turut mengejar kereta Proton Waja itu sebelum hilang daripada pandangan mereka.

"Sebuah kereta Perodua Myvi kemudiannya memintas mangsa dan penumpang hadapan sebelah kiri telah melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa.

"Mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Setakat ini tidak dapat disahkan berapa das tembakan yang terkena mangsa kerana laporan lengkap pemeriksaan masih belum diperoleh," katanya ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak pasti punca kejadian kerana dia tiada masalah dengan mana-mana pihak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, semakan terhadap kedua-dua nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat didapati menggunakan nombor palsu.

"Saksi dan mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana cermin kereta gelap dan ketika tembakan dilakukan suspek hanya membuka sedikit cermin lalu melepaskan tembakan.

"Siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang kelongsong peluru. Lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan di lokasi agak terhad," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.