Mengatasi jangkitan LTAT

A
A
A

ADA orang kecewa, ada orang marah, ada orang caci dan ada orang pertikai apabila Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 30 September lalu isytiharkan dividen dua peratus bagi tahun kewangan 2018.

Saya pun tidak salahkan mereka. Kalau saya tidak tahu butir sebenar, saya pun marah juga. Mana boleh dividen yang dulu sampai berbelas peratus tiba-tiba jatuh dengan teruk sekali?

Macam mana bagi tahun 2018, yang lapan bulan daripadanya adalah di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), keuntungan dan dividen LTAT merudum?

Tetapi saya tahu. Nombor satu kerana suasana ekonomi dan pasaran saham dalam dan luar negara yang lembab dan nombor dua kerana kita menyatakan yang sebenar mengenai kedudukan kewangan LTAT.

Apabila ekonomi dunia kacau-bilau akibat perang dagang Amerika-China, ekonomi kita turut terjejas kerana kita adalah antara ekonomi yang paling terbuka di dunia dan bergantung kepada perdagangan luar.

Amerika adalah ekonomi terbesar di dunia dan China nombor dua.

Kedua-dua buah negara ini pula adalah antara rakan perdagangan kita yang terbesar.

China nombor dua dan Amerika nombor tiga. Tempat nombor satu Singapura. Maka macam kata pepatah, gajah dengan gajah berperang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Artikel Berkaitan:

Bukan kita saja tersepit malah satu dunia rasa kesannya.

Dividen LTAT jatuh oleh sebab kerajaan PH tidak mahu berbohong macam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sejak ditubuhkan 16 bulan lalu, kita telah lakukan audit ke atas syarikat dan agensi kerajaan.

Ini kerana dari awal lagi kita mengesyaki kelemahan tadbir urus, penyelewangan, rasuah dan pecah amanah dalam pengurusan banyak agensi dan syarikat ini.

Syak wasangka kita terbukti apabila siasatan bebas berjaya dedahkan penyelewengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Dengan macam-macam jenis kelemahan, penyelewengan, rasuah dan penipuan, macam manalah kita nak cakap pasal maruah Melayu?

Masalah Felda belum selesai sepenuhnya.

Isu hutang dan kerugian pelaburan yang besar akibat pembelian 37 peratus saham ladang Eagle High milik Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh masih dalam rundingan.

Kalau boleh kita mahu Sondakh, seorang sahabat akrab bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, beli balik saham Eagle High dan pulangkan duit Felda.

Kalau dicampur kerugian pelaburan dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), lagilah teruk kedudukan kewangan Felda.

Kalau orang Felda nak tahu, ini punca kerajaan PH tak boleh bantu mereka banyak-banyak.

Dalam kes LTAT, bukan saja tadbir urus lemah malah ia juga diperkudakan bagi menyelesaikan najis korporat era Najib.

Misalnya apabila sistem penguatkuasaan lalu lintas automatic (AES) yang difrancais pada zaman Najib ditentang oleh pengguna jalan raya, LTAT dan anak syarikatnya, Boustead Holdings Berhad, dikerah untuk beli konsesi itu pada tahun 2015 dengan bayaran RM623.2 juta.

Pengurusaan baharu LTAT sedang berusaha dapatkan ganti rugi. Boustead juga digunakan bagi mengambil alih tanah Kementerian Pertahanan yang diswastakan kepada dua orang sahabat Najib.

Seorang Melayu dan seorang India, apabila rakan kongsi itu bergaduh sehingga membawa ke mahkamah.

Secara peribadi saya tidak dapat mengampunkan apa yang berlaku kepada LTAT kerana saya beberapa kali menulis membantah dan memberi amaran mengenai bahaya perbuatan memperalatkan tabung pencen tentera itu bagi membasuh najis korporat orang lain.

Tadbir urus yang lemah burukkan lagi prestasi LTAT. Pengurusan lama jual saham-saham yang kukuh dan untung kemudian beli saham syarikat-syarikatnya sendiri yang lemah dan kurang menguntungkan.

Buku kira-kira diolahkan untuk menunjukkan keuntungan yang banyak dan membayar dividen yang tinggi sedangkan keuntungan tidaklah sebanyak mana.

Alhamdulillah, saya mendapat jaminan jika segala langkah pemulihan yang sedang dilaksanakan oleh pengurusan baharu berjalan seperti yang dirancang, LTAT akan kembali pulih dalam masa dua hingga tiga tahun.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara