KKM, SKMM pantau penjualan vape dalam talian

Boon Chye memukul gong simbolik merasmikan Seminar Keperluan Khas Sepanjang Hayat di Hospital Fatimah hari ini.
Boon Chye memukul gong simbolik merasmikan Seminar Keperluan Khas Sepanjang Hayat di Hospital Fatimah hari ini.
A
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang giat memantau penjualan rokok elektronik (e-rokok) atau vape di laman sosial dan platform membeli-belah dalam talian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya memandang serius terhadap penjualan e-rokok serta cecair vape mengandungi nikotin yang mudah diakses terutama golongan bawah umur.

Menurutnya, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 (Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984) iaitu kesalahan menjual cecair atau sebarang persediaan yang mengandungi nikotin sebagai bahan yang tidak didaftarkan sebagai ubat.

"Bahan mengandungi nikotin perlu didaftarkan oleh farmasi atau pengamal perubatan. Justeru itu, kita sentiasa memantau apa yang ditawarkan oleh penjual vape dalam talian terutama laman web membeli belah.

"Malah, kita sendiri telah berhubung platform beli-belah itu serta SKMM untuk mengambil tindakan dengan menyekat dan membawa turun iklan berkaitan agar tidak berleluasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keperluan Khas Sepanjang Hayat di Hospital Fatimah di sini hari ini.

Menurutnya, usaha itu dijalankan secara berterusan meskipun berhadapan kesulitan.

"Kita tahu aspek ini (menyekat iklan) agak sukar apabila kita sekat satu iklan, 10 iklan lain pula yang timbul. Tindakan akan diambil dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Boon Chye menekankan bahawa kementerian tidak akan mengambil tindakan terhadap pemilik restoran selagi papan tanda larangan merokok dipamerkan di premis masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini menjadi satu isu (paparan papan tanda larangan merokok yang mempunyai pelbagai saiz) dan kementerian memutuskan bahawa kelonggaran diberikan selagi papan tanda itu dipaparkan di premis mereka.

"Kita juga mendapat laporan ada individu menyamar dari kementerian menjual papan tanda dengan ukuran standard, mereka ini bukan dari kementerian kita," katanya.

Katanya, pihaknya akan memperhebatkan lagi aktiviti penguatkuasaan di tempat makan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sebelum Januari 2020.