X

Kindly register in order to view this article
!

Jangan beri alasan sukar peroleh sijil halal

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof pada sidang media di sini hari ini.
A
A

IPOH - Tidak timbul isu kesukaran dalam proses permohonan atau pembaharuan pensijilan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof.

Beliau berkata, selain dilakukan secara dalam talian, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) turut menyediakan pelbagai kaedah sebagai pemudah cara, namun dalam masa sama masih menjaga kualiti pensijilan.

Menurutnya, antara usaha berkenaan termasuk pengenalan program 'build in system' yang melatih pengurusan syarikat dan premis memahami kaedah pensijilan halal dengan tepat.

"Isu mengatakan ia susah dan sebagainya sepatutnya tidak timbul kerana di peringkat negeri lagi mereka boleh mendaftar secara atas talian.

"Segala keperluan akan disiapkan untuk dibawa ke peringkat Persekutuan sebelum diproses dan diberi kelulusan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Karnival Ummatic 2.0 di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof (dua dari kanan) ketika menyempurnakan gimik perasmian Karnival Ummatic 2.0 di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, setiap syarikat dan pengeluar produk yang memohon pensijilan itu tetap perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi menjaga kualiti sijil daripada disalah guna.

Katanya, pada masa ini memang wujud pihak-pihak tertentu yang secara sengaja memburukkan dan menyalah guna tanda halal demi mencapai kepentingan sendiri.

"Pensijilan halal ini 'mahal' dan berharga, sudah tentulah kita perlu menjaga standard, mereka yang nak membuat pembaharuan kenalah semak semula, tidak boleh terus diberi. Kena ada pemantauan secara mengejut atau tersusun mengikut penjadualan," katanya.

Terdahulu Mujahid merasmikan Karnival Ummatic 2.0 anjuran bersama Masjid Muhammad Al Fateh, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan kerajaan negeri Perak di Masjid Muhammad Al Fateh, di sini.

Dalam ucapannya, beliau berkata, penganjuran program selama tiga hari itu perlu dijadikan contoh kepada semua masjid agar proaktif mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

"Saya percaya pendekatan yang digunakan ini mampu menarik masyarakat untuk mendekati diri dengan institusi masjid, sekaligus tidak hanya menganggap ia hanya untuk tempat beribadah semata-mata.

"Sememangnya apa yang dilaksanakan ini juga selari dengan usaha kerajaan agar Islam itu difahami dalam konteks sebenar dan tidak jumud," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!