Lantai bersih tanpa puntung rokok

Che Ku Nasir membuat simbol larangan merokok dipremisnya yang beroperasi di Ladang, Kuala Terengganu.
Che Ku Nasir membuat simbol larangan merokok dipremisnya yang beroperasi di Ladang, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penguatkuasaan kawasan larangan merokok di tempat makan hari ini memberi impak terhadap kebersihan premis perniagaan.

Pengurus Kedai Warisan Zulkifli Ayam Penyet, Che Ku Nasir Che Ku Maidin, 38, berkata, larangan itu tidak menjejaskan perniagaan malah memberi kesan positif kepada pelanggan.

"Selepas penguatkuasaan dijalankan hari ini, saya boleh nampak kesan positif iaitu lantai premis perniagaan bersih tanpa puntung rokok.

"Pada saya pelanggan boleh terima peraturan ini kerana ianya ke arah positif. Pelanggan juga turut rasa selesa terutama yang bekeluarga dan membawa anak kecil," katanya.

Selain itu, Che Ku Nasir berkata, larangan itu juga dapat membantu mengurangkan kerja-kerja membersihkan premis perniagaan daripada puntung rokok yang dibuang di merata-rata tempat.

"Pelanggan akan hisap rokok selepas makan, jadi biasanya lantai restoran akan penuh dengan puntung rokok.

"Bila ada penguatkuasaan ini, kerja kita lebih ringan, jimat tenaga, udara dan kawasan kedai kita pun nampak bersih," katanya.

Kedai Warisan Zulkifli Ayam Penyet beroperasi bermula jam 12 tengah hari sehingga 8.30 malam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pelanggan, Ahmad Afif Mohd Kamdani, 30, berkata, sebagai individu yang merokok, dia tidak merasa kekok untuk mematuhi peraturan baharu itu.

"Saya rasa larangan ini tidak membebankan. Mudah untuk dipatuhi kerana ia memberi kesan positif.

"Tiada masalah cari lokasi sejauh tiga meter dari kedai makan untuk merokok," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia mewartakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, di bawah Akta Makanan 1983 melibatkan semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak sebagai Tempat Larangan Merokok berkuatkuasa 1 Januari 2019.