Kampung Baru bakal setaraf KLCC

Ishak Ismail (kanan) pada sesi Wacana Kampung Baru: Kekal atau Dibangunkan? yang berlangsung di Dewan Karangkraf hari ini. - Foto: Zahid Izzani
Ishak Ismail (kanan) pada sesi Wacana Kampung Baru: Kekal atau Dibangunkan? yang berlangsung di Dewan Karangkraf hari ini. - Foto: Zahid Izzani
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada lagi perbezaan 'darjat' antara Kampung Baru dan KLCC sekiranya penempatan orang Melayu itu dibangunkan semula.

Perunding hartanah, Ishak Ismail berkata, usaha kerajaan menjenamakan semula Kampung Baru merupakan usaha strategik untuk kepentingan orang Melayu.

Menurutnya, pembelian aset oleh orang Melayu di pembangunan semula itu pula disifatkan satu pelaburan demi masa depan waris.

"Sebenarnya ideologinya begini, kopi yang dijual di tepi jalan harganya mungkin kita bayar RM1 dan di sebelahnya mungkin ada Coffee Bean yang orang bayar RM8. Kedudukannya sebelah-sebelah sahaja.

"Ini isu dalam pemasaran, sekiranya mahu meningkatkan nilai sesuatu produk, maka kita kena usahakan bagaimana mengindahkan pembungkusan dan label lebih baik.

"Produk itu tentu akan diletakkan di gred lebih baik. Saya percaya dengan usaha kerajaan menjenamakan Kampung Baru, tiada lagi perbandingan darjat dengan KLCC," katanya selaku panelis pada program Wacana Sinar Harian Siri 131 bertajuk 'Kampung Baru: Kekal Atau Dibangunkan?' di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Wacana yang menampilkan personaliti TV, Ahmad Fedtri Yahya sebagai moderator itu turut dibarisi panelis, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Pengarah Kanan, Bahagian Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak.

Pada 21 September lalu dalam sesi Town Hall Pembangunan Kampung Baru, Khalid mengumumkan tawaran kerajaan untuk pembelian tanah sebanyak RM850 setiap kaki persegi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan memberi jaminan tanah berkenaan tidak akan dibuka kepada bukan Melayu atau ditukar status kepada pegangan bebas seperti termaktub dalam Akta 733 Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu.

Fokus pembangunan Kampung Baru yang dirancang meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial melibatkan keluasan tanah 302 ekar.