Gagal tunjuk sijil nikah, pasangan suami isteri ditahan

Antara yang ditahan dalam Op Ambang Tahun Baharu 2019 Daerah Kuala Muda.
Antara yang ditahan dalam Op Ambang Tahun Baharu 2019 Daerah Kuala Muda.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Disebabkan gagal mengemukakan sijil perkahwinan yang sah, satu pasangan bersama seorang kanak-kanak berusia 8 tahun yang ditemui di sebuah bilik hotel, ditahan sempena Op Ambang Tahun Baharu 2019.

Malah, lelaki berusia anggaran 40-an itu turut dikesan mempunyai rekod lampau dikehendaki polis mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, sekaligus menyebabkan ketiga-tiga individu terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Bagaimanapun, wanita dan kanak-kanak itu kemudian dibebaskan, namun lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Selain itu, dua lagi pasangan berusia lingkungan 20-an ditahan di lokasi sama membabitkan warga Thailand, Vietnam dan China yang dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral.

No Image Caption

Difahamkan, dua lelaki warga China yang menjalankan pekerjaan tidak tetap mengakui sedang menghabiskan masa bercuti dan mengambil kesempatan bertemu pasangan masing-masing yang dikenali melalui aplikasi WeChat.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati, bilik penginapan mereka telah ditempah atas nama individu warga tempatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan ke beberapa lokasi panas mendapati, sebanyak 10 individu ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 atas kesalahan berkhalwat.

Artikel Berkaitan:

Manakala, tiga warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam operasi sama, kita berjaya menahan seorang lelaki mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki mengedar dadah, 16 orang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 dan seorang lagi individu dikehendaki polis ditahan, membabitkan Sesyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 956 individu diperiksa, 993 kenderaan dilakukan pemeriksaan, 15 premis diserbu, 212 saman dikeluarkan dan tujuh kereta serta 28 motosikal disita atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Menurutnya, operasi bersepadu dijalankan bagi membanteras kegiatan jenayah, mat rempit, masalah sosial, penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah di seluruh daerah Kuala Muda.

Katanya, keseluruhan tangkapan membabitkan 43 individu.

Antara lokasi yang menjadi tumpuan termasuk Gurun, Tanjung Dawai, Merbok, Bedong, Bukit Selambau, Sungai Petani, Tikam Batu dan Kota Kuala Muda, bermula 9.30 malam sehingga 5 pagi.

Seramai 25 pegawai serta 157 anggota termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Pejabat Agama Daerah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani terlibat dalam op bersepadu terbabit.