Insentif RM30,000 bagi kakitangan awam dedah salah laku, penyelewengan

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Kakitangan awam yang berjaya mendedahkan salah laku dan penyelewengan akan dianugerahkan Anugerah Integriti dan Personaliti (IPA) serta diberi insentif wang tunai sehingga RM30,000.

Menteri Kewangan (MOF), Lim Guan Eng berkata, setiap aduan salah laku dan penyelewengan perlu disalurkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kami akan lindungi (pemberi maklumat) dan beri mereka ganjaran," katanya.

Beliau berkata, anugerah tersebut adalah selaras dengan dasar kementerian ke arah penjimatan.

"Tidak hanya kepada warga MOF, ia terbuka kepada semua kakitangan awam yang berani melaporkan sebarang salah laku dan penyelewengan," katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan dibebankan dengan kemelut kewangan dan penyelewengan membabitkan RM150 bilion menyamai RM5,000 bagi setiap rakyat Malaysia.

"Harus ditekankan bahawa kerajaan komited untuk meningkatkan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) ekoran masalah kewangan diwarisi," katanya dalam ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan MOF sebentar tadi.

Selain IPA, MOF turut menyediakan Anugerah Kreativiti dan Inovasi (CIA) kepada penjawat awam yang memperkenalkan kaedah kreatif dan inovasi sehingga dapat memberi penjimatan, bakal mendapat wang tunai RM30,000.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setiap penjimatan akan disalurkan kembali kepada kementerian dan agensi.

"Jika sebelum ini penjimatan disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan, ia harus dihentikan dan penjimatan diberikan kepada kementerian terbabit untuk melakukan projek atau program," katanya.