Syor Harimau Buta diberi insentif kejayaan di Sukan SEA Kemboja

Norazreen dan Boss James bersama Harimau Buta dalam satu majlis menghargai pemain kebangsaan itu di Subang pada Sabtu.
Norazreen dan Boss James bersama Harimau Buta dalam satu majlis menghargai pemain kebangsaan itu di Subang pada Sabtu.
A
A
A

SATU permohonan insentif kejayaan akan diajukan kepada Menteri Besar Selangor ekoran kejayaan 'Harimau Buta' merangkul pingat perak pada Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Sukan) Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Selangor, Norazreen Sulaiman berkata, cadangan pemberian insentif itu bertujuan memberi dorongan buat atlet kelahiran Selangor terus berusaha lebih keras mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Kita di JBS Negeri Selangor akan membuat satu permohonan kepada pejabat Menteri Besar Selangor untuk memberi ganjaran atau insentif kejayaan kepada pasukan Harimau Buta.

"Malah kita juga berharap pemain anak jati Selangor yang beraksi dengan Harimau Buta turut diberi sumbangan khas kerana telah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa," katanya pada Sabtu.

Boss James (kiri) dan Norazreen melihat seorang pemain Harimau Buta melakukan tendangan penalti dalam satu majlis menghargai pemain kebangsaan itu di Subang pada Sabtu.
Boss James (kiri) dan Norazreen melihat seorang pemain Harimau Buta melakukan tendangan penalti dalam satu majlis menghargai pemain kebangsaan itu di Subang pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan pasukan Harimau Buta bersama penaja anjuran Hong Leong Yamaha Malaysia Alumni (HLYMA).

Hadir sama, Presiden HLYMA, Ng Yee Sheng atau lebih dikenali sebagai Boss James dan Pengurus Besar Pemasaran Jualan Hong Leong Yamaha Motor, Tim Hoo.

Mengulas lanjut, Norazreen berkata, cadangan pemberian insentif tersebut akan turut melibatkan beberapa pasukan kebangsaan lain yang menempa kejayaan baik di Sukan SEA Kemboja.

Kata beliau, selain pasukan pingpong dan renang, atlet olahraga kurang upaya negara turut meraih keputusan cemerlang.

Menurutnya, pemberian insentif itu dilihat relevan kerana kerajaan negeri Selangor sebelum ini pernah memberi ganjaran kepada atlet Selangor yang cemerlang pada kejohanan Para Sukan Malaysia (Para Sukma).

Norazreen (tengah) dan Boss James bersama kumpulan penaja Harimau Buta yang beraksi di Para Sukan SEA di Kemboja pada Sabtu.
Norazreen (tengah) dan Boss James bersama kumpulan penaja Harimau Buta yang beraksi di Para Sukan SEA di Kemboja pada Sabtu.

Jelasnya, setiap atlet para Selangor yang memperoleh emas pada Para Sukma diberi ganjaran RM3,000, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000).

Sementara itu, Yee Sheng berkata, HLYMA terpanggil untuk memberi tajaan kepada Harimau Buta semasa pasukan kebangsaan itu beraksi di Para Sukan SEA bagi menaikkan semangat atlet berjuang demi negara.

Pempengaruh media sosial itu berkata, kekuatan dan semangat juang Harimau Buta harus ditingkatkan dengan tajaan yang mampu meringankan beban masing-masing ketika berada di luar negara.

"HLYMA mahu bersama-sama dengan Harimau Buta berjuang demi mengharumkan nama negara.

"Kita bersyukur mereka berjaya di Para Sukan SEA dengan membawa pulang pingat perak," ujarnya.