Suara berani tiga pemimpin Islam

A
A
A

MENGIKUT Sidang Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-74 sangat mendebarkan. Sebabnya, dunia kini dalam kancah krisis yang sangat kritikal. Arab Saudi, Amerika Syarikat, Iran, Pakistan, India dan Turki ialah negara-negara yang berdebat hangat dalam sidang tersebut.

Dalam perdebatan itulah muncul tiga suara pemimpin negara Islam yang mencuri perhatian dunia. Tun Dr Mahathir Mohamad mengungkap soal kuasa veto lima negara dalam Majlis Keselamatan PBB serta Israel sebagai negara punca kepada terorisme global.

Recep Tayyip Erdogan menghuraikan isu kemanusiaan dalam strategi perhubungan antarabangsa dan juga soal Israel yang melanggar semua resolusi PBB. Imran Khan pula jelas mendedahkan polisi India yang menjadikan warga Jammu Kashmir sebagai mangsa.

Lebih hebat lagi ketiga-tiga pemimpin itu menggagaskan penubuhan sebuah media berbahasa Inggeris untuk menangani salah faham barat terhadap Islam.

Pokoknya, ketiga-tiga pemimpin itu telah menyerlah dalam sidang PBB kali ini. Tanpa batas bahasa diplomatik, mereka melontarkan pandangan secara berterus terang. Mereka menegaskan bahawa kini keadilan dunia tidak ada malah dinafikan untuk negara kecil sekali gus warga Muslim menjadi sasaran.

Di kala banyak hipokrasi yang diamalkan oleh kuasa besar, Dr Mahathir mengingatkan tujuan PBB ditubuhkan iaitu untuk mewujudkan keamanan dunia. Fungsi PBB ternyata lenyap kerana dikawal oleh kuasa besar. Sebanyak lima negara memiliki kuasa veto untuk memerintah dunia dan menentukan nasib negara lain.

Dengan kuasa veto, mereka menafikan segala prinsip hak manusia malah menghalang sebarang usaha untuk mengimplementasi segala resolusi PBB yang mereka tubuhkan sendiri. Mereka tunduk kepada sebuah negara proksi Amerika Syarikat (AS) iaitu Israel.

Demokrasi yang dicanang oleh mereka adalah hipokrasi yang jelas. Mereka mudah mendakwa negara lain tidak demokratik atau tidak cukup demokratik namun mereka sendiri mengamalkan tindakan paling tidak demokratik. Mana mungkin hak mengisytihar perang diberi kepada segelintir negara dan negara lain hanya menunggu arahan.

Artikel Berkaitan:

Tidak dinafikan punca segala terorisme dunia pada skala yang berlaku sekarang adalah berasal usul bila kuasa Eropah melahirkan Israel pada 1948. Dahulu British mendalanginya, sekarang AS menjadi pelindung negara kriminal Israel itu.

Imran Khan dengan tegas mengungkap kenapa PBB berdiam diri bila India memperlakukan ke atas Kashmir sebagaimana Israel memperlakukan ke atas Palestin. Apa yang menghalang PBB bertindak?

Erdogan membidas jenayah ke atas Jamal Kashoggi di bumi Turki yang dianggap suatu perlakuan yang sangat buruk pada abad ini. Kenapa kuasa barat tidak bertindak ke atas pihak yang jelas bertanggungjawab?

Kini negara kuasa besar seperti AS dan British hanya merujuk kepada tindakan militari dan mengenakan sanksi kepada negara lain. Mereka enggan bertindak ke atas negara paling jelas melanggar segala undang-undang antarabangsa iaitu Israel.

Akibat tekanan Zionis Yahudi, Muslim dan Islam dijadikan sasaran dan jutaan menjadi mangsa akibat hipokrasi kuasa besar mencanang demokrasi untuk dunia. Muslim dilabel pengganas padahal Muslimlah yang paling ditindas dan dizalimi di seluruh dunia.

Dr Mahathir mengutarakan pendirian yang bernas bahawa rundingan atau menggunakan institusi undang-undang adalah terbaik untuk mencari penyelesaian bagi mengelak konflik bertukar menjadi perang militari yang bukan sahaja menghilangkan nyawa malah memusnahkan seluruh negara.

Beliau juga mempersoal tindakan AS yang sering menggunakan perang dagangan, kuasa sanksi dan tindakan militari ke atas negara lain. Kini AS melancarkan perang dagang ke atas China dan sanksi ekonomi ke atas Iran. Soalnya apa asas undang-undang tindakan sanksi diambil?

Kenapa ada negara seperti Arab Saudi yang menggunakan AS untuk menekan Iran hanya kerana mahu menjayakan agenda Zionis Israel? Erdogan mengingatkan bahawa tudingan terhadap Iran adalah tidak adil tanpa bukti yang konkrit.

Kita mengharapkan suara tiga pemimpin itu diberi perhatian serius oleh dunia dan pemimpin Islam yang lain perlu berani bersuara menegaskan pendirian demi keadilan dunia.

Sebanyak lima negara memiliki kuasa veto untuk memerintah dunia dan menentukan nasib negara lain."