Kempen buli di sekolah jangan sekadar bermusim

No Image Caption
A
A
A

PUAS rasa hati apabila Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang memerintahkan sembilan pihak termasuk lima bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) membayar tuntutan RM616,634.20 kepada seorang bekas pelajar sekolah itu yang menjadi mangsa buli, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, nilai tuntutan yang tinggi itu tidak dapat mengembalikan semula pendengaran plaintif yang hilang selepas gegendang telinganya pecah selepas dipukul tanpa belas kasihan.

Lebih menyedihkan, pelajar tingkatan dua yang berusia 14 tahun ketika kejadian itu kini tidak boleh lagi melakukan aktiviti air seumur hidupnya.

Plaintif yang juga pelajar pintar dan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2013 itu turut mengalami tekanan perasaan dan trauma sehingga terpaksa bertukar ke sekolah lain pada Julai 2015.

Ini adalah satu daripada kes yang perlu menjadi iktibar kepada semua pihak supaya mengambil perhatian terhadap masalah buli yang berlaku di sekolah hampir saban tahun.

Merak Kayangan sendiri tidak sanggup untuk menatap video-video yang tular di laman sosial memaparkan pelajar sekolah dipukul dengan ganas tanpa sebarang belas kasihan oleh pembuli.

Semasa Merak Kayangan di sekolah dulu, memang ada seorang sahabat yang sering menjadi mangsa buli.

Hati rasa sedih dan sayu melihat keadaan dirinya yang mengalami penderaan secara mental dan fizikal tetapi apakan daya, Merak Kayangan sendiri tidak tahu bagaimana hendak membantu pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Hidupnya berubah daripada seorang yang periang menjadi murung, malah pelajarannya juga semakin merudum. Merak Kayangan dapat melihat tiada lagi keyakinan dalam dirinya.

Buli memberi kesan besar kepada mental dan emosi terhadap dirinya.

Berdasarkan data daripada Kajian Children4Change 2018: Pengalaman buli dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa di Malaysia mendapati 83 peratus kanak-kanak menyatakan kes buli berlaku di sekolah.

Menurut kajian itu lagi, 75 peratus kanak-kanak mempunyai perasaan negatif seperti sedih dan marah apabila dibuli atau melihat orang lain dibuli dan 67 peratus kanak-kanak mahu polisi anti buli sekolah untuk rasa selamat.

Justeru itu, wajar jika Kementerian Pendidikan terus memperjuangkan masalah buli di sekolah dengan kempen yang berterusan. Jangan tunggu ada yang mati gara-gara buli baru tindakan hendak diambil.