Mat Sabu, Guan Eng digesa beri penjelasan kukuh isu dividen LTAT

MUHAMMAD AMINURALIF MOHD ZOKI

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan pengumuman dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi tahun 2018 yang hanya sekadar 2 peratus.

Ketua DPIM Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, rakyat mula mempersoalkan dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada tahun ini yang terendah dalam sejarah tanah air.

"Jika dibandingkan pada tahun 2017, kadar dividen yang diberikan adalah 12.5 peratus iaitu enam kali ganda berbanding tahun kewangan 2018.

"Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) digesa memberikan alasan yang kukuh bersama fakta berkenaan sebab-sebab utama pendapatan dan pelaburan yang lembap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Boustead dan Affin Bank merupakan dua aset terbesar LTAT yang tidak pernah rugi sejak tahun 2013.

"Mohamad dan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) perlu memberikan penjelasan bagaimana pelaburan LTAT mencatat kerugian sejak PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) hingga hari ini, alasan yang sama terus disuap kepada rakyat bahawa tempoh tiga tahun diperlukan untuk memulihkan ekonomi negara, walhal ekonomi negara berkembang pesat sebelum PRU14.

"Alasan juga diberikan seolah-olah berlaku salah laku di dalam kerajaan terdahulu kerana membayar dividen yang tinggi," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya turut mengingatkan agar Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli supaya bersikap matang, menggunakan fakta ketika berhujah dan tidak bermulut celupar menggelarkan pihak pembangkang serta rakyat sebagai bodoh.

Artikel Berkaitan:

Shahir berkata, Rafizi perlu melihat prestasi saham Boustead Holdings secara keseluruhan.

"Fakta tidak menipu atau membodohkan rakyat apabila saham Boustead Holdings merudum jatuh setelah Pakatan Harapan memerintah negara, saham Boustead Holdings pada Januari 2018 adalah RM 2.89.

"Hari ini nilai saham jatuh menjunam kepada RM 1.01 iaitu merosot 65 peratus, Rafizi jangan berselindung kepada rakyat untuk menunjukkan bahawa saham Boustead Holdings pada Januari 2016 nilai saham ialah RM 2.86 dan pada Januari 2017 ialah RM 2.67, disebabkan kukuhnya saham Boustead Holdings, maka dividen diberikan kepada wira negara kita adalah sekitar 12 peratus," katanya.

Menurutnya, perkara sama juga turut berlaku kepada saham kedua terbesar LTAT iaitu Affin.

"Pada Januari 2018, nilai saham sekitar RM 2.50 tetapi hari ini nilai saham tersebut jatuh merudum kepada RM 1.98 iaitu jatuh 21 peratus, DPIM berharap pihak PH (Pakatan Harapan) terutama Naib Presiden PKR untuk tidak memutar belit fakta dan membuat kenyataan tidak matang kepada pembangkang.

"Mereka harus ingat, pembangkang hari ini merupakan pembangkang yang matang dan bukan penyebar sentimen berbaur fitnah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Dividen LTAT rendah kerana salah labur: Mohamad Sabu