Bekas pegawai khas menteri didakwa ugut, cederakan bekas isteri

Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ampang selepas prosiding pertuduhan selesai.
Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ampang selepas prosiding pertuduhan selesai.
A
A
A

AMPANG - Seorang bekas pegawai khas menteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini berhubung dua pertuduhan mencederakan dan mengugut bekas isterinya pada 26 September lalu.

Tertuduh, Shahirul Syafiq Shaharin, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Shahirul didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda RM 2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan pertama, Shahirul didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dengan menampar kepala sebelah kiri dan menumbuk pipi kiri Nur Syifaa Zamri, 25.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11.30 malam 26 September lalu di sebuah rumah di Pangsapuri Spring Ville, Taman Ukay Perdana Hulu Langat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menakutkan isterinya dengan ugutan secara jenayah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria, meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan beliau tidak mempunyai pendapatan tetap dan terpaksa menanggung ibu serta dua anak.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin selain dilarang mendekati mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes disebut semula pada 15 November ini.