Pas tak setuju kerajaan kembalikan GST

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas tidak akan menyokong sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula di negara ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan seharusnya mencari sistem percukaian lebih baik yang tidak membebankan rakyat dan bukannya sekadar melihat dalam kerangka GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semata-mata.

“Pas sudah menjangkakan kerajaan akan kehilangan pendapatan hampir RM20 bilion apabila mengambil tindakan untuk memansuhkan GST dan digantikan dengan SST,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, Pas sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu telah mengemukakan cadangan memperkenalkan sistem cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham.

"Pas telah kemukakan cadangan sebelum ini iaitu cukai bagi golongan kaya seperti cukai korporat dan cukai transaksi saham yang mana mereka mempunyai harta berbilion tetapi tidak dikenalkan cukai.

"Ia adalah cukai yang lebih baik kerana dalam kaedah Islam cukai perlu diambil daripada orang kaya kepada orang miskin," katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bersedia mengembalikan pelaksanaan GST sekiranya rakyat mahukan.

Beliau berkata, kajian semula perlu dilakukan sekiranya GST dikembalikan namun pelaksanaan semula GST tidak akan dimasukkan ke dalam pembentangan Belanjawan 2020 minggu depan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sedia kembalikan GST: PM

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman berkata, kerajaan perlu bersikap ‘berani kerana benar’ jika mendapati pengenalan semula GST dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam merancang dan menguruskan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran bersama.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, beliau berharap kerajaan dapat menilai dan membuat kajian secara terperinci terhadap sistem percukaian korporat yang dicadangkan oleh Pas.

Sistem percukaian GST telah diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1 April 2015 dengan kadar sebanyak enam peratus.

Namun cukai berkenaan dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada September tahun lalu dan diganti dengan sistem SST pada kadar 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan.