21 tahun hilang, mahkota Ethiopia bakal dikembalikan

Asfaw (kiri) dan Brand bergambar bersama mahkota Ethiopia abad ke-18 di lokasi simpanan sementara. - Foto AFP
Asfaw (kiri) dan Brand bergambar bersama mahkota Ethiopia abad ke-18 di lokasi simpanan sementara. - Foto AFP
A
A
A

ROTTERDAM - Mahkota Ethiopia abad ke-18 bakal dipulangkan dari Belanda ke Addis Ababa selepas seorang bekas pelarian menemui barang berharga itu dalam beg pakaian yang disembunyikan di apartmennya selama lebih dua dekad.

Menurut Sirak Asfaw yang kini bekerja sebagai perunding pengurusan untuk kerajaan Belanda pada April 1998, dia terjumpa sebuah beg pakaian mengandungi mahkota berkenaan yang ditinggalkan individu tidak dikenali.

"Saya buka beg dan terkejut melihat objek itu. Saya tahu ia dicuri dan tidak sepatutnya berada di sini. Ia perlu dipulangkan ke Ethiopia," kata bekas pelarian Ethiopia itu yang melarikan diri pada penghujung tahun 1070-an semasa pembersihan dikenali sebagai Keganasan Merah.

Asfaw kemudiannya memuat naik mesej mengenai penemuan berharga itu di ruangan sembang di internet untuk meminta pandangan warganet tentang apa yang perlu dilakukan.

"Jawapan yang diterima tidak memuaskan. Saya enggan pulangkan kepada rejim sama yang membolehkan mahkota itu dicuri. Saya tahu jika saya pulangkan ia akan hilang semula," ujarnya lalu memutuskan untuk menjadi penjaga mahkota tersebut.

Selama 21 tahun mahkota itu disimpan di apartmennya, dia turut menerima tekanan dari kerajaan Ethiopia yang memaksanya untuk memulangkan mahkota tersebut.

Selepas Abiy Ahmed dilantik sebagai Perdana Menteri tahun lalu, Asfaw yakin negara asalnya sudah berubah dan akhirnya memulangkan semula mahkota itu.

Hiasan kepala tembaga berhias itu disahkan ketulenannya selepas Asfaw menghubungi detektif seni Belanda, Arthur Brand.

Artikel Berkaitan:

Brand yang juga dikenali sebagai Indiana Jones dunia seni berkata, mahkota itu disimpan di lokasi selamat dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa Ethiopia dengan segera.

"Asfaw hubungi saya beritahu dia memiliki artifak Ethiopia yang mempunyai kepentingan budaya sangat besar," katanya. - AFP