Siri jelajah lapan ADUN Pas platform dekati masyarakat akar umbi

A
A
A

KUANTAN - Siri jelajah lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang digerakkan sejak Mac lalu memberikan peluang kepada barisan pemimpin berkenaan mendekati masyarakat akar umbi di kawasan-kawasan Parlimen seluruh negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, selain menyelami permasalahan dihadapi rakyat, program dirancang oleh Sekretariat ADUN-ADUN Pas Pahang itu turut menjadi platform menyampaikan maklumat terkini isu- isu semasa.

Menurutnya, selain beliau yang juga ADUN Beserah, tujuh ADUN lain yang terlibat dalam siri jelajah itu ialah ADUN Tanjung Lumpur merangkap Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abd Jabar; ADUN Damak, Zuridan Md Daud; ADUN Chenor, Mujiburrahman Ishak; ADUN Jengka, Shahrir Azman Abd Halim; ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahaya; ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badardan dan ADUN Luit, Mohd Sofian Abd Jalil.

Beliau berkata, melalui siri jelajah yang kini memasuki parlimen kelima, pelbagai program diatur termasuk siri dialog, ceramah, kuliah agama dan program ziarah mendekati golongan yang memerlukan.

“Secara tidak langsung, melalui program yang diadakan secara bulanan ini, masyarakat bukan sahaja dapat bertemu dengan ADUN- ADUN Pas malah mereka dapat melihat dan menilai sendiri kecaknaan kami untuk berkhidmat bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat.

“Lapan ADUN terlibat akan keluar dari kawasan masing-masing bagi mengikuti program dan aktiviti mengikut kawasan parlimen yang telah dirancang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Andansura berkata, selain itu, siri jelajah itu memberi peluang untuk memberi penerangan kepada ahli-ahli Pas dan masyarakat berhubung agenda penyatuan ummah ini dan Muafakat Nasional.

“Usaha ini perlu supaya masyarakat dan ahli Pas dan UMNO khususnya dapat memahami dengan jelas dan menerima baik agenda demi kepentingan bersama.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga sebagai satu langkah supaya ahli tidak keliru atau dikelirukan pihak tertentu yang tidak senang dengan agenda penyatuan ini," katanya.

Menurutnya, siri jelajah lapan ADUN Pas ini sudah menjelajah ke lima kawasan Parlimen bermula Rompin diikuti Lipis, Raub, Bentong dan terbaharu di Jerantut.

“Pada saya, program jelajah ini dapat memantapkan pengetahuan semua ADUN terlibat dalam soal isu semasa dan isu negeri supaya mereka mampu memberikan penjelasan kepada orang ramai dalam setiap program yang diaturkan.

“Ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai prestasi ADUN ini termasuk dalam aspek interaksi dan berkomunikasi dengan rakyat. Jadi jika ada kekurangan dan kelemahan, ia dapat diperbaiki," katanya.

Andansura berkata, paling penting ADUN-ADUN ini dapat mendengar dan menilai sendiri maklum balas dan pandangan daripada masyarakat setempat terhadap Pas, negeri, negara dan isu-isu yang berlaku ketika ini.

Sementara itu, mengulas berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Andansura berkata, Pas Pahang menunggu keputusan dan ketetapan daripada pihak Pas Pusat.

“Setakat hari ini belum ada sebarang arahan tentang perkara ini, namun kami sentiasa bersedia untuk melaksanakan apa sahaja ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti," katanya.