16 warga Myanmar guna laluan tikus ditahan

Rodzi (dua dari kiri) menyoal beberapa soalan kepada tahanan di Aksem Chuping hari ini.
Rodzi (dua dari kiri) menyoal beberapa soalan kepada tahanan di Aksem Chuping hari ini.
A
A
A

PADANG BESAR - Hasrat 16 warganegara Myanmar untuk pulang ke negara asal mereka melalui laluan tikus terbantut apabila ditahan oleh pihak Anggota Keselamatan Sempadan (Aksem) Perlis, jam 7 pagi hari ini.

Komander Aksem Perlis, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya telah menerima satu maklumat berkaitan sekumpulan lelaki yang mencurigakan di Jalan Bukit Kerengga Kampung Kubang Tiga.

Menurutnya, sejurus mendapat maklumat pihaknya telah membuat pemerhatian di lokasi berkenaan dan mendapati sekumpulan lelaki dalam keadaan mencurigakan di dalam sebuah khemah usang dalam belukar berhampiran kebun getah.

"Kita telah menahan kesemua mereka dan hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Kita telah mengambil tindakan dengan membawa kesemua mereka pulang ke Kem Aksem Chuping untuk tindakan lanjut," katanya ketika sidang media di Aksem Chuping petang tadi.

Menurut Rodzi, kesemua lelaki berkenaan dipercayai akan bergerak pulang ke Myanmar melalui laluan tikus di pagar sempadan Malaysia Thailand yang terletak di kawasan ladang tebu Chuping.

"Kita percaya mereka ini menggunakan khidmat ejen yang merupakan penduduk tempatan dengan bayaran RM1,400 seorang," katanya.

Artikel Berkaitan: