Lagi tapak sampah haram di Johor Bahru terbakar

Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran sejak 27 September lalu. FOTO: JBPM JOHOR
Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran sejak 27 September lalu. FOTO: JBPM JOHOR
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan bomba masih bertungkus-lumus menjalankan operasi memadam kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah haram di Taman Perindustrian Kota Puteri, Masai sejak 27 September lalu.

Sehingga semalam Komander operasi Timbalan Penguasa Bomba, Ibrahim Omar memaklumkan pasukannya telah memadamkan 70 peratus daripada 2.4 hektar kebakaran yang berlaku di kawasan tersebut.

"Dalam operasi hari kelima (semalam) kita buat pemantauan dan operasi pemadaman dengan membina 'fire brake' bagi mengelakkan kebakaran terus merebak," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Chen Choon berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini dengan semua pihak berkaitan.

"Saya meninjau lokasi pembakaran terbuka yang berulang dan berlanjutan itu menjejaskan kualiti udara setempat semalam kemudian berhubung terus dengan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman.

"Saya aturkan mesyuarat tergempar yang akan diadakan petang ini bagi menemukan penyelesaian tuntas agar masalah ini tidak berulang lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau memohon kerjasama semua pihak untuk segera menghentikan aktiviti pembuangan sampah haram dan pembakaran terbuka serta merta.

Kejadian tersebut difahamkan kerap berulang setiap tahun malah untuk tahun ini sahaja lebih tiga kali kebakaran berlaku.

Artikel Berkaitan: