Banteras sindiket seludup hidupan liar

Gambar hiasan
A
A

PENAHANAN seorang bekas Pengarah Kastam negeri dan dua pengarah syarikat berhubung kes pembalakan, perlombongan dan penyeludupan haram oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kelmarin, membuktikan kerajaan memandang serius ketirisan dalam tadbir urus negara.

Sinar Harian melaporkan, kesemua mereka ditahan di tempat berasingan bersama wang tunai dalam jumlah yang tidak didedahkan.

Ketua Pengarah SPRM, Lateefha Koya berkata, kejayaan tersebut berpunca daripada kesungguhan pihaknya membanteras gejala berkenaan habis-habisan kerana ia berkaitan dengan alam sekitar yang menjadi kepentingan awam.

Tahniah sekali lagi diucapkan kepada SPRM. Diharapkan, tindakan tegas SPRM menjadi contoh kepada agensi penguat kuasa yang lain terutamanya dalam membanteras jenayah berkaitan alam dan kehidupan semula jadi.

Namun, tindakan terpuji tersebut juga seharusnya diperluaskan meliputi kes-kes ancaman terhadap haiwan liar kerana negara kita mutakhir ini juga berdepan dengan masalah kehilangan spesies haiwan terancam yang serius seperti tenggiling, seladang, harimau Malaya, badak Sumatera, gajah, rusa sambar, serow dan bangau.

Haiwan-haiwan ini dilaporkan semakin mengecil jumlahnya akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan haiwan berkenaan sebagai hasil eksport lumayan untuk dijadikan makanan, hiasan, peliharaan mahupun bahan perubatan tradisional.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal berita, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, terdapat jumlah kematian yang besar dalam kalangan haiwan spesies terancam di negara kita.

Katanya, kematian tersebut dipercayai berpunca daripada aktiviti pembalakan, perburuan dan pemerdagangan yang semakin berleluasa.

Sama seperti alam sekitar, hidupan liar terutamanya yang terancam spesiesnya juga merupakan kepentingan awam kerana habitatnya memainkan peranan besar terhadap ekosistem semula jadi.

Justeru, sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang terlibat dengan aktiviti kejam itu dan mengheret dalangnya ke muka pengadilan.